Pelaporan peristiwa selepas pemberian vaksin

- Advertisement -

VACCINE Adverse Effect Reporting System (VAERS) adalah satu kaedah pelaporan yang dilakukan di Amerika Syarikat. Manakala di UK pula dinamakan Yellow Card. Sistem pelaporan ini bertujuan untuk membuka peluang masyarakat awam bagi membuat laporan secara bebas berkaitan dengan ubat-ubatan atau vaksin ataupun alat perubatan yang digunakan ke atas pesakit.

Semua pelaporan yang diterima itu akan dimasukkan ke dalam laman web rasmi sebagai paparan umum. Kemudian, semua kejadian atau peristiwa yang berlaku selepas dari pengambilan ubatan atau vaksin itu akan dinilai oleh jawatankuasa pakar. Jawatankuasa khas ini akan menilai kesahihan laporan dan membuat siasatan lanjut secara terperinci sama ada ianya berkaitan secara langsung oleh vaksin atau ubat ataupun ianya secara kebetulan berlaku.

Memang panjang berjela aduan yang dibuat oleh individu yang terlibat dalam pengambilan vaksin. Contohnya pelaporan peristiwa dalam laman web Yellow Card UK berkaitan vaksin Pfizer-BioNTech. Terdapat kejadian, selepas dicucuk vaksin, melaporkan beliau telah digigit oleh serangga. Ada juga membuat aduan terkena kejutan elektrik. Terdapat juga yang membuat aduan jatuh. Dua kes mendakwa diri mereka mengandung. Adakah vaksin itu mengandungi sperma ataupun mempunyai hormon subur menyebabkan mereka mengandung? Sudah tentu tidak! 

- Advertisement -

Tetapi itulah bentuk aduan yang telah pun dimuatkan di dalam pelaporan itu. Terdapat juga yang mengadu bahawa mereka telah dicerca oleh individu tertentu. Pendek kata apa saja peristiwa atau keadaan yang berlaku selepas daripada pengambilan vaksin akan dicatat hatta kalau berkelahi suami isteri boleh dimasukkan sebagai pelaporan VAERS atau Yellow Card.

Aduan lain seperti keguguran, mata buta, diserang angin ahmar (stroke) dan beberapa kejadian penyakit lagi pun dicatatkan dalam pelaporan itu. Malah kematian sama ada secara mengejut dan kematian natural pun dimasukkan. Peristiwa dan kejadian sebegini boleh berlaku dalam mana-mana negara dan juga mana-mana lokaliti walaupun tidak diberi vaksin. Ianya tetap berlaku secara kebetulan, selagi manusia itu wujud, mesti ada sakit, mesti ada sihat, mesti ada mati. Itulah lumrah kehidupan.

Maka, di sinilah perlunya panel pakar yang menilai kembali adakah semua aduan itu sahih dan ianya bertepatan dikaitkan dengan pemberian vaksin ataupun ianya berlaku secara kebetulan. Panel penilai pakar telah membuat kesimpulan daripada semua dari peristiwa atau kejadian yang dilaporkan itu:

(1) Peningkatan jumlah kesan sampingan sampingan (Adverse Drug Reaction -ADR) adalah refleks kepada peningkatan pemberian vaksin dalam negara yang terbabit.
(2) Jumlah dan bentuk yang dijangka berlakunya kesan sampingan itu adalah tidak lari jauh berbanding dengan kesan sampingan pemberian vaksin rutin sebelum daripada ini (seperti vaksin Campak, Difteria dan lain-lain).
(3) Keselamatan keseluruhan vaksin yang dicatatkan itu adalah juga tidak lari jauh dari kejadian yang berlaku semasa kajian Klinikal.
(4) Berdasarkan pengalaman semasa jangkaan manfaat dari vaksin COVID-19 itu jauh lebih tinggi dari kesan sampingan yang dicatatkan.
(5) Namun begitu vaksin yang diberikan itu akan terus di pantau (sepanjang masa).

Masalah timbul di segelintir daripada kita mempercayai pihak-pihak tertentu yang cuba menyebarkan fakta yang tidak tepat dan melemparkan tuduhan bahawa berlakunya kesan buruk apabila diberikan vaksin. Mereka juga menuduh pihak berkuasa sengaja ingin menutup mata supaya vaksin terus diberikan kepada penduduk dunia. Inilah silap di kalangan kita yang mempercayai golongan yang sememangnya sudah anti kepada perubatan moden dan vaksinasi.

Tidak mustahil pihak yang menentang itu akan menggunakan teknik yang sama. Menjadikan kes-kes kejadian yang lumrah berlaku dalam masyarakat untuk terus dikaitkan dengan vaksin. 

Dalam negara kita nanti laporan kesan sampingan boleh di laporkan melalui MySejahtera. Terdapat satu borang khusus dalam MySejahtera untuk membuat pelaporan atau boleh juga membuat pelaporan melalui laman web NPRA. Jika tidak ada akses internet boleh saja ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk membuat pelaporan kesan samping. Keputusan laporan itu nanti akan dinilai oleh pasukan penilai sama dia betul ataupun tidak. Jangan sesekali membuat andaian sendiri dan membuat diagnosa sendiri seterusnya mencanangkan rata-riti bahawa terkena kesan samping.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 20/1/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -