Langkah istiqamah ‘Pak Teh’

- Advertisement -

HARI ini genap 61 tahun usia YB Hj Razman Zakaria Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak. Beliau juga adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Perak sejak 2013. Memulakan karier sebagai Pegawai Kanan Kastam selepas menamatkan pengajian di UKM hinggalah 2008 sebagai Penolong Kanan Pengarah Kastam Malaysia selain memimpin Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia sebagai Presiden sejak 1995 hingga bersara pilihan. 

Beliau mendapat pendidikan tinggi di UKM dalam bidang Sains Matematik dan Master di UM dalam bidang Public Admin dan kini meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di UUM. Beliau juga mengambil pengajian khusus dalam pengajian Islam di UM dan ILHAM selain berkecimpung dengan Darus Syifa. Sebagai bukti kecintaannya terhadap pendidikan Islam, beliau mengasaskan Pusat Tahfiz di kampung Luat Lenggong.

- Advertisement -

Karier politiknya bermula sebagai YDP PAS Lenggong 2008 dan pernah menjadi Bendahari PAS Pusat . Selepas memenangi kerusi DUN Semanggol pada 2018 beliau memberi khidmat kepada masyarakat setempat sehinggalah menjadi Exco Pendidikan pada Mac 2020 setelah terbentuk Kerajaan Perikatan Nasional bersama Umno. 

Saya menyaksikan komitmen beliau sebagai Exco Pendidikan Perak untuk merubah kedudukan Pendidikan Perak dalam lima teratas di samping memberi fokus kepada pendidikan B40. Jadual harian beliau dipenuhi dengan lawatan, pertemuan dan gerak kerja membangunkan bidang pendidikan. 

Walaupun terhalang dengan kemelut COVID-19 yang menjejaskan perjalanan pendidikan, beliau berusaha meneroka peluang bagi memastikan tiada yang tertinggal dan terpinggir dalam pembelajaran online.

Di peringkat tinggi beliau memberi fokus membangunkan KUISAS sebagai IPT milik kerajaan negeri di samping cuba membawa UKM dan USIM membuka cawangan di Perak. Semua asas itu tetap dibuat dalam kekangan pandemik COVID-19.

Krisis politik yang menyebabkan pertukaran jawatan MB kepada Umno menyebabkan tumpuan pembangunan dan aspirasi beliau untuk pendidikan terhenti. Entah apa di mahu Menteri Besar Umno dengan menukar portfolio yang baru disandang tak sampai setahun?

Rata-rata Pegawai Pendidikan khasnya di JPN Perak menyambut baik aspirasi beliau dan melihat bagaimana komitmen yang ditunjukkan walaupun dalam kekangan kewangan yang difokuskan kepada bantuan rakyat di bawah MB Peja. Beliau bergerak dengan idea dan aspirasi besar dan terhenti di permulaan lantaran percaturan politik di Perak.

Kini beliau meneruskan usaha sebagai exco baru di bidang pertanian. Tiada istilah cuti bagi beliau. Pegawai Khas beliau Syahril Md Suki yang sentiasa bersama beliau menyaksikan dan merasai jadual padat tersebut.

Semua orang tahu dengan sifat ‘gila kerja’ YB Razman. Isterinya memaklumkan bahawa beliau akan demam kalau seharian tiada kerja. Pegawai dan jawatankuasa yang bekerja dengan beliau sentiasa sibuk dengan arahan tugasan yang tak pernah habis. Jadual lawatan beliau biasanya bermula awal pagi dan berakhir malam.

Di bidang politik beliau punyai ketegasan dan prinsip. Mungkin jiwa bekas ‘pegawai uniform’ menjadikan beliau begitu. Bacaan politik beliau sentiasa bersifat semasa untuk memastikan PAS Perak terus relevan dan berperanan besar dalam politik setempat.

Hari ini YB Razman Zakaria yang lebih mesra dengan panggilan Pak Teh genap 61 tahun. Semoga di usia 61 tahun ini beliau dilimpahi kesihatan dalam memimpin PAS Perak dan portfolio yang diamanahkan. Semoga Pak Teh terus istiqamah.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 16/2/2021