Elak portal seperti Sugarbook muncul semula

- Advertisement -

KOTA BHARU: Masyarakat tidak boleh berasa selesa walaupun portal rasmi Sugarbook sudah dipadamkan aplikasinya bermula semalam.

Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga, dan Wanita negeri, Ilvira Mohd Dasuki berkata, ini kerana portal haram (illegal) yang masih boleh digunakan.

Katanya agensi kerajaan yang berkaitan dan setiap anggota masyarakat hendaklah sentiasa peka bagi mengelakkan laman sesawang seumpama itu diwujudkan kembali.

- Advertisement -

“Perlunya ada sifat bertanggungjawab antara satu sama lain bukan hanya keluarga terdekat semata-mata.

“Peranan anggota masyarakat yang prihatin amat penting dalam memandu anak-anak muda khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT) memilih jalan yang baik,” ujarnya di sini, hari ini.

Semalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) menyekat aplikasi Sugarbook yang dikatakan mempromosi aktiviti tidak bermoral.

Sebelum ini pelbagai pihak mahu kerajaan bertindak segera menyekat portal terbabit yang dilancar seorang rakyat Malaysia bernama Darren Chan pada 2017.

Portal terbabit menawarkan perantaraan kepada aktiviti persudalan yang dikatakan melibatkan ramai pelajar IPT.

Sehubungan itu, Ilvira merakam ucapan tahniah kepada kerajaan yang mengambil tindakan pantas menyekat portal berkenaan.

“Tahniah juga diucapkan pada semua kementerian-kementerian yang terlibat dalam mengatasi masalah tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/2/2021

- Advertisement -