Sugarbook: NGO wajar buat laporan polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aplikasi Sugarbook digunakan oleh para pengguna dari Malaysia dan beberapa negara tetapi berdasarkan laporan, negara ini menjadi ‘sarang’ kepada 42,500 sugar daddy.

Sugarbook sebagai platform temu janji sugar daddy terbesar di Asia melaporkan peningkatan 40 peratus pelajar mendaftar untuk menjadi sugar baby sejak Januari kerana mengalami krisis kewangan.

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki mencadangkan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara supaya membuat laporan polis berhubung isu sugar daddy yang menular di institusi pengajian tinggi.

- Advertisement -

Beliau mendesak pihak polis menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook yang bertanggungjawab berlakunya gejala maksiat di institusi ternama dalam negara ini.

Pihak polis juga, kata beliau perlu menyiasat siswa-siswa yang terlibat dengan gejala tersebut dan mengambil tindakan undang-undang.

“Siswa-siswa yang terlibat perlu dipecat daripada insititusi terlibat,” tegasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS Pusat berkata, tindakan keras wajib diambil kerana perbuatan terkutuk itu telah menjejaskan nama baik institusi pengajian tinggi milik Kerajaan.

Ditambah pula, kata beliau gejala itu jika tidak dikenakan tindakan tegas akan menggalakkan budaya seks di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ugama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary menggesa agar aplikasi Sugarbook disekat kerana didakwa digunakan oleh pelajar IPT untuk mencari sugar daddy.

Ujarnya, sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat khususnya pengendali aplikasi tersebut.

Menurut laporan media, pelajar universiti di negara ini terjebak dalam kancah sugar baby-sugar daddy bagi memperoleh wang mudah untuk menampung kos sara hidup termasuk yuran pengajian.

Platform itu turut mendedahkan senarai ‘top 10’ universiti sugar baby di negara ini termasuk dua universiti awam, dengan seramai 12,705 pelajar IPT berkenaan terjebak dalam kancah itu. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -