SRJKT: Dahulu kena bayar sewa, sekarang percuma

- Advertisement -

PADANG SERAI: Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Sungai Ular, Kulim sebelum ini terpaksa membayar sewa RM163,000 dalam 30 tahun kepada pemilik tanah.

Bagaimanapun di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) diberi kebenaran menduduki tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) itu secara percuma.

Pendudukan percuma SRJKT, Ladang Sungai Ular melibatkan kawasan seluas 1,107 ekar perlu diperbaharui setiap tiga tahun sekali.

Guru besar sekolah terbabit M Palaniapan berkata, keprihatinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan PN berjaya menyelesaikan masalah tanah terbabit.

- Advertisement -

Katanya, perkembangan yang berlaku itu memberi banyak kelegaan kepada Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) SRJKT Ladang Sungai Ular, Kulim.

Sedangkan kata beliau PKNK sebelum ini menawarkan pajakan tanah seluas 3,499 ekar kepada pihak sekolah dengan bayaran sebanyak RM163,000 untuk tempoh 30 tahun bermula 1 Januari 2020.

“Perkara itu diputus hasil perbincangan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) terbabit bersama pihak sekolah yang diadakan sejak 2018.

“Bagaimanapun sekolah kami menghadapi kesukaran apabila Ladang Sungai Ular bertukar hak milik kepada PKNK berikutan perjanjian pajakan pemilik ladang tamat pada September 1998,” katanya.

Kata beliau, jumlah pajakan itu terlalu tinggi dan tidak mampu dibayar pihak sekolah.

M Palaniapan juga berkata, pihak LPS berbangga kerana isu tersebut ditangani kerajaan PN sehingga berjaya diselesaikan.

“Saya juga berterima kasih kepada Ahli Majlis Daerah Kulim, Ganesan dan Pegawai Khas Menteri Besar, K Kumaresan yang banyak membantu.

“Penghargaan turut dirakamkan oleh PIBG, Persatuan Bekas Murid SJK (Tamil) dan seluruh warga sekolah memandangkan kebanyakan pelajar di situ merupakan daripada keluarga kurang berkemampuan (B40).

“Semoga masalah tanah tersebut akan mendapat penyelesaian yang kekal pada masa akan datang. Pihak LPS dan PIBG akan terus berusaha untuk memperolehi tanah secara percuma untuk kebaikan pelajar,” sambung Palaniapan.

Pada Rabu lepas, Menteri Besar menyerahkan surat perjanjian pendudukan percuma SRJKT, Ladang Sungai Ular kepada guru besar sekolah terbabit di Wisma Darul Aman. (Foto atas)

Sekolah berkenaan antara terawal beroperasi iaitu pada 1936 dan berkembang maju setelah mendapat peruntukan Kerajaan Persekutuan pada 1972 bagi membina bangunan baharu dua tingkat.

Manakala dalam Rancangan Malaysia ke-10 peruntukan sebanyak RM2.5 juta diluluskan untuk tambahan bangunan tiga tingkat ekoran berlaku penambahan pelajar. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -