Rantau Panjang seperti ‘hilang seri’ selepas PKP 2.0

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Kawasan Bebas Cukai (KBC) Rantau Panjang sebelum ini meriah dengan kehadiran pelancong membeli-belah kini seakan-akan ‘hilang seri’ selepas Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP 2.0) dikuatkuasakan.

Tinjauan Harakahdaily baru-baru ini mendapati hampir separuh peniaga membuat keputusan tidak beroperasi kerana kekurangan pengunjung.

Sepi dan lengang, itu gambaran terkini di pusat membeli-belah KBC Rantau Panjang dalam suasana PKP 2.0 sekarang.

- Advertisement -

Pekan terbabit tiada lagi hiruk-pikuk kenderaan atau pengunjung, malah kebanyakan peniaga mengeluh kerana hilang punca pendapatan.

Namun dalam masa yang sama mereka mengakui terpaksa akur dengan keadaan semasa bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun selepas kerajaan memperluaskan pembukaan sektor ekonomi mulai minggu lepas, ramai peniaga menarik nafas lega.

Malah sebahagian peniaga membuka semula kedai dan gerai-gerai makanan.

Seorang peniaga, Aisyah Ahmad, 52, berkata, beliau membuka semula kedai selepas kerajaan membenarkan premis perniagaan dibuka.

“Sepanjang PKP dikuatkuasa memang kita tidak berniaga. Alhamdulillah, rasa sedikit lega apabila permohonan untuk beroperasi dibenarkan walaupun kita tahu pelanggan tidak ramai sebab tidak boleh rentas negeri.

“Sekarang hanya masyarakat tempatan yang datang membeli di sini kerana penduduk dari daerah dan negeri lain masih tidak boleh datang,” katanya ketika ditemui.

Turut berkongsi keperitan seorang lagi peniaga Rahimah Ayub, 47, berkata beliau membuka kembali perniagaan menjual pakaian.

“Perit yang kami rasa ini hanya Allah sahaja yang tahu, tidak terluah memandangkan saya memang bergantung pendapatan dengan hanya menjual dan berniaga sahaja.

“Bagaimanapun, InsyaAllah dalam masa yang sama kita mesti yakin dengan ketentuan Allah dan terpaksa akur dengan apa yang berlaku sekarang,” katanya.

Rantau Panjang terletak kira-kira 40 kilometer dari Kota Bharu dan bersebelahan dengan pekan Golok di Thailand. KBC diwujudkan pada 2002 menjadikan pekan itu sering menjadi tumpuan pelancong. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!