Kapasiti hospital masih cukup tampung kes Covid-19

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kira-kira 66 peratus kapasiti hospital di Kelantan masih mencukupi bagi menampung rawatan kes positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kes positif di Kelantan menunjukkan isyarat penurunan bermula pertengahan Januari.

Katanya, penurunan kes positif itu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun terdapat sedikit peningkatan kes yang membabitkan kluster iaitu Pangkal Changgong yang membabitkan tiga daerah iaitu Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

- Advertisement -

“Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) masih mempunyai ruang kapsiti yang cukup untuk menampung kes positif tidak bergejala,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.

Menurutnya juga terdapat seramai 259 individu menjalani ujian saringan selepas menjadi kontak rapat kepada 41 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebuah sekolah di Machang yang disahkan positif Covid-19 semalam.

Dr Izani berkata, semua individu yang disaring itu terdiri daripada pelajar serta ibu bapa yang menjadi kontak rapat kepada mereka.

Menurutnya, ujian saringan hari ini juga menunjukkan pertambahan 23 individu disahkan positif Covid-19, berbanding 41 individu dilaporkan semalam.

“Jangkitan wabak ini berpunca daripada komuniti yang mungkin di antara mereka berhubung rapat dengan individu positif Covid-19 sebelum pelajar dibenarkan masuk ke asrama sebagai persediaan untuk menduduki SPM.

“Bagaimanapun, kita tidak perlu bimbang kerana wabak ini terkawal,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menggesa semua pihak terus mematuhi SOP dan menjaga kebersihan diri bagi mengawal wabak daripada meningkat.

Semalam Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Zaini Hussin dilapor berkata, kes calon SPM disahkan positif Covid-19 adalah kontak Kluster Pangkal Changgong yang membabitkan daerah Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Kluster Pangkal Changgong yang mula dikesan pada 10 Februari lalu membabitkan sebuah pusat pengajian di Pangkal Changgong dan penularannya dikesan tiga daerah setakat ini.

Semua pelajar terbabit sekarang dirawat di pusat kuarantin di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) selepas disahkan positif. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -