Azizulhasni kongsi semula video kemalangan di Manchester

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang memenuhi permintaan ramai dengan mengongsi Kembali video kemalangan pada kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester.

Pelumba kelahiran Terengganu yang bergelar The Pocket Rocketman itu menyatakan demikian dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Advertisement

Berikut tulisan beliau.

Atas permintaan ramai, saya kongsikan kembali video kemalangan ‘splinter’ di World Cup Manchester yang hampir meragut karier saya pada tahun 2011 dulu.
.
Beberapa detik selepas jatuh, saya gagahkan diri untuk membuka mata. Keadaan bising dan huru-hara. Saya nampak jurulatih John Beasley berada di sebelah saya. John bertanya, “Are you okay Azizul?” Waktu itu saya terpaksa tipu John dan saya tipu diri saya. Saya ingin tamatkan juga perlumbaan tersebut kerana saya ingin menjaga status nombor satu dunia dalam acara Keirin ketika itu. Saya perlu tamat sekurang-kurang tempat ke empat. Saya pun menjawab, “I’m all good mate, can you help to lift me up real quick?”. John seperti tak percaya memandangkan keadaan saya ketika itu. Skinsuit korak rabak, helmet retak dan visor pecah. Saya yakinkan beliau lagi. Terus beliau angkat saya dan saya teruskan kayuhan ke garisan penamat dengan kesakitan tahap dewa.
.
Lepas dapat tamatkan perlumbaan, saya lega. Saya tahu saya dapat nombor tiga untuk perlumbaan tersebut, bermakna misi tercapai. Terus saya berhenti dan memegang fence di tepi gelanggang tersebut. Waktu itu barulah saya memikirkan tentang keadaan diri saya, tentang kecederaan dan kesakitan yang saya alami. Masya-Allah sakit sangat satu badan ni, kepala saya berdengung dan seperti ada bunyi tiupan wisel. Skinsuit saya koyak rabak di beberapa bahagian. Waktu itulah, satu pengalaman yang amat pahit buat saya. Dengan tiba-tiba saya dapat merasakan suatu kesakitan yang teramat sangat. Tak tahu macam mana nak jelaskan. Saya yang banyak kali dah jatuh, crash dan cedera sebelum ini, belum pernah merasa sesuatu macam ni. Dan yang peliknya, semua tertumpu di satu bahagian, iaitu kaki sebelah kiri.
.
Saat itu saya tahu ini bukan kecederaan biasa-biasa. Saya pun gagahkan diri untuk melihat apakah yang berlaku sebenarnya. Apabila saya toleh ke bawah dan memandang betis kiri saya. Ya Allah!

Dalam kemalangan yang berlaku pada 19 Februari 2011 itu, betis kirinya tertusuk serpihan kayu kira-kira 20 cm ketika bertanding acara keirin pada Siri Piala Dunia Klasik UCI di Manchester.

Insiden tersebut mendapat liputan meluas di seluruh dunia gara-gara kemalangan pelik membabitkan Azizulhasni dan semangatnya yang tetap mahu menghabiskan perlumbaan sekalipun betisnya tertusuk serpihan kayu.

Kemalangan bermula dengan pelumba Sepanyol, Juan Peralta Gascon tergelincir sebelum terlanggar Azizulhasni yang mewakili pasukan trek profesional negara, Yayasan Sime Darby (YSD) diikuti dua pelumba lagi terjatuh, Kamil Kuczynski (Poland) dan Edward Dawkins (New Zealand). Namun mereka bangkit meneruskan perlumbaan dengan cara yang berbeza.

Azizulhasni bangkit semula sambil dibantu jurulatihnya, John Beasley untuk meneruskan perlumbaan dan tidak sedar serpihan kayu tertusuk di betis kirinya, manakala Dawkins melintasi garisan penamat sambil menolak basikal.

Beliau berjaya mendapat pingat gangsa walaupun semasa melintasi garisan penamat dalam keadaan cedera. Azizulhasni berjaya muncul juara keseluruhan Piala Dunia Klasik dan berada pada ranking nombor 1 dunia. – HARAKAHDAILY 15/2/2021