KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Kelantan kerana meluluskan pengecualian bayaran lesen kepada para penjaja kecil dan peniaga pasar malam untuk tahun ini yang menelan kos hampir RM1 juta.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, pengecualian itu membuktikan kerajaan negeri prihatin terhadap mereka.
“Alhamdulillah dan tahniah pada kerajaan negeri kerana telah mengambil langkah itu bagi mengurangkan risiko peniaga ketika berhadapan dengan Covid-19,” ujarnya.
Fared berkata, langkah yang telah diambil kerajaan negeri itu adalah sangat bertepatan dengan keadaan semasa yang mendesak masa kini.
Namun beliau berpendapat, pengecualian tersebut juga boleh dilaksanakan kepada peniaga-peniaga lain yang turut sama berdepan cabaran dalam perniagaan mereka.
Untuk tujuan itu, katanya kerajaan negeri dan Persekutuan perlu berbincang lanjut bagaimana cara untuk membantu meringankan bebanan peniaga yang berdepan dengan kekangan itu.
“Kerajaan Pusat telah menyediakan pelbagai insentif dan bantuan bagi membantu kumpulan peniaga tersebut,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurutnya, isu cukai dan pelesenan perlu dibincangkan dengan kerajaan negeri memandangkan ia merupakan bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kita yakin kerajaan Pusat sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk melihat bagaimana kaedah untuk mengurangkan beban peniaga di Kelantan dan seluruh negara.
“Banyak perbincangan antara Pusat dan negeri perlu dilakukan untuk manfaat bersama khususnya di Kota Bharu,” katanya kepada media hari ini. Beliau meluangkan masa hampir sejam bagi menyantuni para peniaga di Pasar Kubang Pasu, di sini.
Beliau turut menyampaikan bakul makanan dan keperluan kepada peniaga di pasar tersebut.
Beliau berharap perbincangan kedua-dua belah pihak itu dapat diadakan seberapa segera mungkin untuk menyelesaikan masalah peniaga. – HARAKAHDAILY 13/2/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!