Sugarbook bawa malapetaka, wajar diharam aplikasinya

- Advertisement -

PENINGKATAN sebanyak 40 peratus pelajar pengajian tinggi mendaftar akaun di platform temu janji, Sugarbook bermula Januari 2021 bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng oleh rakyat dan Kerajaan Malaysia. 

Amat mengejutkan Malaysia dilaporkan ketiga paling tinggi di Asia seramai 42,500 ‘Sugar Daddy’,selepas India (338,000) dan Indonesia (60,250). 

Keadaan ini menunjukkan kadar peningkatan kecenderungan rakyat Malaysia terhadap gejala tidak bermoral ini sudah berada pada tahap yang amat membimbangkan.

- Advertisement -

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dengan tegas telah menyuarakan pendirian kami berkenaan isu ini pada Disember 2019 apabila tular paparan iklan billboard Sugarbook di ibu kota Kuala Lumpur. [1] 

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyekat laman web ini daripada terus diakses oleh rakyat Malaysia. Pengharaman laman web ini wajar dilaksanakan demi menjaga Maqasid Syariah iaitu menjaga agama dan keturunan atau maruah.

Negara China boleh menyekat aplikasi Facebook untuk mengambil langkah keselamatan atau dicuri maklumat peribadi rakyat mereka dari Amerika Syarikat. Amerika Syarikat boleh menyekat aplikasi Tik Tok atas alasan mahu mempertahankan keselamatan Kebangsaan, dasar luar dan ekonomi mereka dari China. Kenapa kita tidak boleh menyekat aplikasi Sugarbook demi menjaga agama dan generasi muda rakyat Malaysia?

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 13/2/2021

[1] https://harakahdaily.net/index.php/2019/12/22/sugarbook-hilangnya-moral-di-era-malaysia-baru/

- Advertisement -