Pelajar capai tempat kedua dunia peperiksaan CAT

Diraikan PAS Kawasan Kuantan yang bangga dengan kejayaan membanggakan itu

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Pencapaian cemerlang diraih Nur Athirah Mohamad Zaini, 19, dalam peperiksaan Certified Accounting Technician (CAT) turut dikongsi rasa bangga itu oleh PAS Kawasan Indera Mahkota.

Pelajar Kolej Pendidikan INTEC, Shah Alam tajaan sepenuhnya Bank Islam Malaysia Berhad ini yang kelahiran Balok Kuantan ini diumumkan menduduki tempat kedua dunia dalam keputusan CAT baru-baru ini.

Anak kepada pasangan Mohamad Zaini Ismail, 59 iaitu bekas Pengurus Logistik Bredero Shaw Sdn Bhd di Gebeng dan Norhaslina Mat Ali, 49, suri rumah ini ditemui di kediaman mereka di Taman Balok Permai, di sini.

- Advertisement -

Pelajar yang menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tok Sira, kemudian ke Maktab Rendah Sains Mara Kuantan hingga mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Selepas pendaftaran di bulan Mac tahun lepas, pandemik COVID-19, menyebabkan saya hanya belajar secara online dari rumah, tidak sempat untuk berkenalan dengan kawan-kawan sekelas. 

“Peperiksaan yang saya duduki juga secara online, serentak di seluruh dunia, markahnya terus diperolehi setelah menjawab semua soalan yang diberikan,” cerita anak keempat dari lima beradik ini ketika ditemui kelmarin.

ADUN Beserah, Andansura Rabu yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang mengetuai lawatan tersebut dan turut disertai Ketua Muslimat PAS Indera Mahkota, Salwani Salleh.

Nur Athirah juga menyatakan bahawa setiap hari dia menguruskan masanya dengan mendahulukan perkara yang lebih penting dan belajar mengikut jadual belajarnya sendiri sebagaimana telah ditetapkan. 

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan profesional melahirkan rasa bersyukur dan amat gembira dengan kejayaan diperolehinya dan berharap dapat mengekalkan prestasi dan mengulangi kejayaan.

“Sebagai seorang ibu saya merasa bersyukur dan mengharapkan agar Nur Athirah menjadi anak yang solehah berjaya di dunia dan berjaya di akhirat,” kata ibunya, Norhaslina.

Manakala Andansura pula, selain dari merakamkan ucapan tahniah, juga mengharapkan agar kejayaan yang dicapai ini tidak menjadikan Nur Athira bersikap sombong kerana masyarakat memandang tinggi kepadanya. 

“Kejayaan ini adalah ujian dari Allah, dekatkan diri kepada Allah, banyakkan berdoa kepada-Nya dan sentiasa berusaha untuk mempertahankan prestasi sekarang,” pesanan Andansura. 

Beliau juga menyatakan kejayaan Nur Athira bukti bahawa semua bidang jika ada usaha dan keinginan boleh diceburi dengan jayanya dan mengharapkan kejayaan ini menjadi pendorong kepada pelajar lain.

“Kejayaan ini sangat bermakna kerana adik bukan sahaja dapat membanggakan kedua ibubapa dan negara Malaysia, bahkan adik juga dapat membuktikan bahawa seorang wanita muda Islam juga boleh mencapai kejayaan sama seperti orang lain.

“Mudah-mudahan adik dapat menjadi pemangkin kepada ramai lagi pelajar di luar sana untuk sama-sama mencipta kejayaan di dalam bidang yang diceburi, seterusnya dapat menyumbangkan tenaga kepada agama, bangsa dan negara di masa depan dengan cemerlang,” kata Salwani. 

Andansura dan Salwani sebelum pulang telah menyampaikan hadiah khas di atas kejayaan Nur Athirah sempena kunjungan tersebut. – HARAKAHDAILY 13/2/2021

- Advertisement -