Pastikan etnik Rohingya dihantar balik tidak dizalimi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) menghargai usaha-usaha kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di negara ini.

Justeru itu, Ketua Penyelaras REACH, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata keputusan kerajaan untuk menghantar balik 1,200 warganegara Myanmar di pusat tahanan negara ini adalah dialu-alukan.

Katanya, seperti yang dilaporkan oleh media baru-baru ini, pemerintahan tentera Myanmar akan menghantar tiga kapal tentera laut untuk mengambil rakyat mereka.

Walau bagaimanapun, ujarnya REACH berharap kerajaan berhati-hati agar tidak menghantar pulang mereka yang akan dizalimi apabila tiba di Myanmar kelak.

- Advertisement -

“Kami menyokong jika mereka yang dihantar balik adalah mereka yang boleh mengancam keselamatan negara atau telah terlibat dengan kegiatan jenayah di Myanmar.

“Kebimbangan kami adalah terhadap kaum Rohingya yang beragama Islam yang tidak diiktiraf oleh pemerintah Myanmar,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mereka telah berhadapan dengan penindasan, penganiayaan dan keganasan di negara mereka.

Tabahnya, mereka menjadi mangsa kerana agama dan etnik mereka.

Beliau berkata, pada tahun 2017, tentera Myanmar telah menghalau 730,000 Muslim Rohingya ke Bangladesh di dalam satu operasi yang dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Justeru, ujarnya REACH berpandangan masalah pendatang tanpa izin dari Myanmar perlu diselesaikan dengan segera dan tegas.

“Di antaranya penyelesaiannya adalah dengan menempatkan mereka semula ke negara ketiga di mana mereka boleh memulakan kehidupan baru dengan selamat,” katanya lagi.

Menurut Iskandar lagi,kKerajaan perlu bertindak kerana terdapat kawasan-kawasan perumahan seperti flat-flat kos rendah di Pandan, Selangor yang seolah-olahnya dikuasai oleh mereka.

“Keadaannya terlalu kritikal sehingga menakutkan rakyat tempatan. Rakyat tidak melihat kerajaan melakukan apa-apa tindakan yang dapat melindungi mereka,” ujarnya.

Beliau menamah, mereka bebas berniaga walaupun tidak memiliki sebarang dokumen yang dikeluarkan kerajaan Malaysia kecuali surat yang dikeluarkan oleh United Nation High Commissioner for Refugee (UNHCR).

“Akhirnya rakyat tempatan pula yang mersakan diri mereka seperti warganegara kelas kedua,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 13/2/2021

- Advertisement -