Enam lagi PAS Cawangan baharu ditubuhkan di Labuan

- Advertisement -

LABUAN: PAS Kawasan Labuan melakar sejarah baharu sejak didaftarkan pada tahun 1998 apabila menubuhkan enam PAS Cawangan yang telah disempurnakan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya.

Pelancaran tersebut dihadiri oleh seluruh Ahli Jawatankuasa Harian PAS Labuan dan Ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya Parlimen Labuan dan wakil-wakil daripada enam cawangan secara maya, pagi tadi.

Turut hadir juga adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Kamisan Suja’ dan Setiausaha PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Abdul Hadi Abdul Halim.

- Advertisement -

Enam PAS Cawangan tersebut adalah Cawangan Batu Arang dan Sungai Keling, Cawangan Sungai Labu, Cawangan Bukit Kalam, Cawangan Kilan, Cawangan Sungai Miri dan Cawangan Rancha-Rancha.

“Kita ahli PAS seharusnya kena matang dan menunjukkan akhlak yang baik dalam berpolitik. Tegas dengan prinsip dan pendirian, namun bersikap tolak ansur dan fleksibel kepada mereka yang bukan-Islam selagi tidak berlawanan dengan agama,” ujar Ustaz Azhar.

Yang Dipertua PAS Labuan, Hamir Zahari menzahirkan rasa syukur dengan pertambahan PAS Cawangan di sini dan menghargai usaha pelbagai pihak dalam merealisasikan penubuhan cawangan ini.

“Saya amat gembira dengan penambahan cawangan ini yang telah di rancang sejak November 2020 dan akhirnya ia berjaya direalisasikan. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam urusan penubuhan ini,” kata Hamir.

Terdahulu PAS Labuan hanya mempunyai empat cawangan iaitu Cawangan Gersik, Cawangan Sungai Bedaun, Cawangan Layang-Layangan dan Cawangan Tanjung Aru. 

Dengan pertambahan enam cawangan yang ditubuhkan, PAS Labuan kini mempunyai 10 cawangan keseluruhannya. – HARAKAHDAILY 13/2/2021