Sugar Daddy: Perlu betulkan sistem

- Advertisement -

BILA hari ini timbulnya isu Sugar Daddy, kita dapat ‘detect’ antaranya ia berpunca daripada sistem yang sedang pincang yang perlu diperbaiki;

Ia berkaitan dengan himpitan hidup. Hidup terhimpit disebabkan sistem ekonomi Islam tidak diiplementasikan bagi menyelesaikan isu-isu rakyat. Contohnya anak muda yang tersepit dengan hutang dan kos pengajian yang tinggi.

- Advertisement -

Ia berkaitan dengan tekanan mental disebabkan keterbukaan media sosial. Masing-masing menayangkan kebahagiaan dan kekayaan masing-masing dalam media sosial (medsos), menyebabkan mereka yang tidak memilikinya akan tertekan.

Ia berkaitan dengan maruah apabila masyarakat sudah didedahkan dengan gejala Hedonism yang terlajak, khususnya melalui medium Tik Tok. Hedonism mengajarkan bahawa ‘hidup itu hanya sekali’. Justeru mereka memilih jalan ‘enjoy’.

Ia berkaitan kampus-kampus tertentu yang lebih berorientasikan business, bukannya untuk membina generasi masyarakat yang berilmu. Mereka yang tidak mampu membayar yuran, perlu pinjam PTPTN.

Akhir sekali, ia berkaitan dengan undang-undang terhadap penzina. Hukum zina bagi mereka yang telah berkahwin lebih berat, iaitu direjam. Manakala yang masih bujang perlu disebat 100 kali sebatan. 

Perlu perkasakan bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, peruntukkan lebih sikit untuk pegawai yang bertugas, dan untuk menambahkan kakitangan. Ia lebih tertumpu kepada tanggungjawab mencegah kemungkaran.

Termasuk juga memartabatkan Mahkamah Syariah. Keterbukaan media sosial perlu dikekang sedikit selaras dengan kaedah:

 إذا ضاق الأمر اتسع وإذا اتسع الأمر ضاق

Perlu fikirkan juga mekanisma untuk ‘mempercumakan’ pendidikan dan sebagainya.

Allah S.W.T berfirman:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ 

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.”

(al-Maidah: 50)

Syeikh Yusuf al Qaradawi di dalam من فقه الدولة  menyatakan bahawa kemungkaran yang terbesar ialah tidak meletakkan hukum Allah S.W.T di tempatnya. Ini kerana, ia menjadi punca kepincangan.

Justeru, yang perlu kita baiki sekarang ialah beberapa sistem yang saya nyatakan di atas. Perbaiki sedikit demi sedikit, ia lebih baik daripada tak buat langsung. Sedarlah, amanah itu akan dipersoal di akhirat kelak.

Berfikir untuk mengubah sistem

Sebagai kerajaan, kita selalunya memikirkan bagaimana nak bantu rakyat, skim apa yang wajar ditawarkan, bantuan-bantuan dan sebagainya. Tak ada masalah, teruskan.

Rasanya dah sampai masanya kita berfikir bukan sekadar memberi, tetapi berfikir dan menzahirkan bagaimana untuk perbaiki sistem agar selaras dengan sistem Islam kerana ini juga solusi kepada masalah rakyat.

Dari sudut bantuan terhadap rakyat contohnya, bolehlah berfikir bagaimana nak tingkatkan kuasa beli, bagaimana nak hapuskan cukai yang membebankan, bagaimana nak hapuskan monopoli dan sebagainya.

Dari sudut perundangan contohnya, bolehlah berfikir bagaimana nak aplementasi Undang-undang Islam dalam bab jenayah contohnya, meninggikan martabat Mahkamah Syariah dan sebagainya.

Bukan sekadar berfikir, bahkan perlu zahirkan komitmen ke arah itu. Menzahirkan komitmen pula bukan sekadar populis atau mengejar milleage politik, bahkan memang berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.

Yang kita inginkan ialah Islam itu tertegak sekalipun dengan jalan yang panjang. Atas keyakinan bahawa Islam itu adalah solusi kepada kesusahan rakyat. Bukannya sekadar nak bom kosong, yang tidak memberi keuntungan apa apa.

*Tulisan ini tidak menafikan mereka yang sedang berfikir ke arah itu.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 12/2/2021

- Advertisement -