Pesalah tidak takut dengan hukuman denda

DDrMahfodz
Dato' Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

PERKATAAN takzir berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud menolak atau menghalang kerana dengan melaksanakan hukuman takzir kepada pesalah maka akan dapat menghalang pesalah-pesalah itu daripada melakukan kejahatan mereka atau menghalang daripada mengulangi kejahatan.

Menurut istilah syarak, takzir adalah sejenis hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya oleh syarak kerana melakukan apa juga kesalahan atau maksiat yang tidak dikenakan hukuman had dan kifarah.

Dan terpulang kepada budi bicara hakim atau ulul amri (pemerintah) untuk menentukan kadar hukumannya.

- Advertisement -

Takzir sebagai kesalahan

Dalam syariat Islam tidak terdapat nas-nas yang menentukan jenis-jenis kesalahan takzir seperti mana yang terdapat dalam kesalahan hudud dan qisas. Sebab itu jenis, kesalahan takzir adalah dalam bidang kuasa ulul amri atau pemerintah yang akan menentukan kesalahan-kesalahan yang boleh membahayakan keselamatan ummah.

Boleh dikatakan selain daripada kesalahan-kesalahan hudud dan qisas adalah semuanya dimasukkan dalam kesalahan takzir.

Menurut Dr Abdul Kader Audah; bahawa kesalahan takzir boleh dibahagikan kepada tiga jenis;

1- Takzir kerana melakukan maksiat
2- Takzir kerana melanggar kepentingan umum
3- Takzir kerana melakukan kesalahan kecil dipanggil Mukhalafat

1) Takzir kerana melakukan maksiat
Kesalahan maksiat seperti meninggalkan kewajiban syarak atau melanggar larangan-larangan syarak.

2) Takzir kerana mengganggu kepentingan umum
Menurut kaedah syarak bahawa hukuman takzir tidak boleh dikenakan melainkan ke atas perbuatan maksiat tetapi dalam keadaan tertentu dikecualikan daripada kaedah umum iaitu hukuman takzir boeh dikenakan ke atas perbuatan yang bukan maksiat jika kepentingan umum itu memerlukan kepada takzir.

Sebagai contoh bahawa hukuman takzir boleh dikenakan kerana mengganggu kepentingan umum ke atas kesalahan yang bukan maksiat ialah mengenai satu kisah di mana Rasulullah s.a.w telah menghukum seorang pencuri yang baru dituduh mencuri keldai dan selepas itu melepaskan yang tertuduh setelah diketahui dia tidak mencuri.

Rasulullah s.a.w menghukum pencuri lelaki tersebut semata-mata kerana tuduhan dan dia tidak melakukan sebarang maksiat yang mewajibkan dia boleh dihukum penjara.

Begitu juga jika kanak-kanak yang belum mukalaf yang meninggalkan solat contohnya boleh dikenakan hukuman takzir sebagai pengajaran kepada kanak-kanak tersebut. Kerana kanak-kanak pada masa itu belum diwajibkan solat lagi.

3) Kesalahan kerana melakukan kesalahan kecil

Ulama mempunyai pandangan yang berbeza mengenai persoalan sama ada orang yang melakukan perbuatan yang makruh seperti merokok atau meninggalkan perbuatan yang sunnah itu boleh dikenakan hukuman takzir.

Setengah ulamak berpendapat bahawa orang yang melakukan perbuatan yang makruh atau meninggalkan perbuatan sunnah tidak boleh dikenakan hukuman takzir.

Manakala sebagaimana ulama yang lain berpandangan bahawa orang yang melakukan perkara yang makruh dan meninggalkan perkara-perkara yang sunnah itu boleh dikenakan hukuman takzir.

Takzir sebagai hukuman

Takzir adalah sejenis hukuman yang tidak ditentukan hukumannya oleh syarak kerana melakukan maksiat.

Hukuman-hukuman takzir boleh dikenakan dari seringan-ringannya seperti memberi nasihat, teguran dan amaran sehingga kepada hukuman yang paling berat seperti dipenjara, disebat bahkan hukuman sehingga kepada hukuman bunuh kerana melakukan kesalahan-kesalahan yang berbahaya.

Hukuman takzir ditentukan kepada semua kesalahan kecuali kesalahan-kesalahan hudud dan qisas dan diat kerana kesalahan-kesalahan tersebut mempunyai hukuman-hukuman yang tersendiri.

Kesalahan hudud dan qisas boleh dikenakan hukuman takzir sebagai hukuman ganti ketika hukuman had tidak boleh dikenakan kerana tidak mempunyai syarat-syarat yang mencukupi.

Di antara hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah-pesalah takzir ialah:

1- Hukuman bunuh
Walaupun pada dasarnya hukuman takzir tidak sampai kepada hukuman bunuh tetapi dalam keadaan tertentu ianya boleh dikenakan kerana kepentingan umum seperti menghukum bunuh orang yang mengancam keselamatan negara seperti spy dari negara luar dan orang yang menggalakkan merebaknya perkara-perkara bid’ah dan fitnah.

2- Hukuman penjara
Hukuman penjara ada yang ditetapkan masanya dan ada yang tidak ditetapkan masanya.

Bagi kesalahan takzir yang ringan maka hukuman penjaranya ialah 3 hari tiga malam.

Adalah masa yang maksima bagi kesalahan takzir yang berat maka hukuman penjara tidak ditetapkan tetapi boleh dihukum penjara seumur hidup.

3- Hukuman sebat (jilid)

Pada dasarnya hukuman sebat adalah hukuman bagi kesalahan hudud tetapi ianya juga sebagai hukuman bagi kesalahan takzir bahkan sebagai hukuman utama kerana ianya sangat berkesan untuk menghalang penjenayah daripada melakukan jenayahnya dan juga kerana pelaksanaannya tidak membebankan negara dan yang paling penting sekali hukuman sebat itu boleh melindungi pesalah daripada kesalahan-kesalahan pesalah yang dihukum penjara.

4) Hukuman denda

Ulama berselisih pendapat mengenai hukuman denda. Setengah ulama berpendapat bahawa hukuman denda boleh dijadikan hukuman yang menyeluruh bagi kesalahan-kesalahan takzir manakala setengah ulama berpendapat bahawa hukuman denda tidak diharuskan dengan alasan bahawa hukuman denda pada mulanya telah dijalankan oleh Rasulullah s.a.w kemudian telah dimansuhkan dengan alasan bahawa hukuman denda bukan satu cara yang betul untuk menghapuskan kejahatan dan sekiranya ia diharuskan ditakuti akan menggalakkan pemerintah-pemerintah yang zalim untuk merampas harta orang ramai dengan cara yang zalim.

Begitu juga jika hukuman denda dijadikan hukuman asas ianya juga tidak dapat menyelesaikan masalah kerana bagi orang yang kaya mereka boleh membayarnya manakala orang yang miskin tidak dapat membayar denda tersebut.

Bagi ulama yang mengharuskan hukuman denda mereka meletakkan syarat bahawa denda sebagai hukuman amaran dengan erti kata bahawa bayaran denda itu akan dipulangkan kepada pesalah sekiranya keadaan pesalah itu bertambah baik dan hukuman denda itu hanya dikenakan kepada pesalah-pesalah yang ringan.

Begitu juga pesalah yang tidak dapat membayar denda tidak boleh dihukum penjara sebagai hukuman ganti. – HARAKAHDAILY 12/2/2021

- Advertisement -