Bekas menteri cari publisiti murahan

- Advertisement -

BACHOK: Kenyataan bekas menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Salahudin Ayub yang membuat pendedahan berkaitan sogokan sindiket daging dianggap sengaja mahu mencari publisiti murahan.

Malah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, tindakan tersebut menggambarkan kerajaan lalu tidak serius untuk mengatasi kemelut yang membabitkan status daging halal dan haram.

“Tindakan bekas menteri terbabit saya rasa memang hendak mencari publisiti murahan, sepatutnya kalau ada sogokan dia perlu buat laporan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

- Advertisement -

“Buat laporan kepada pihak berkuasa, kalau betul-betul ada berlaku sogokan dan rasuah, kita pun tidak faham tujuan apa dia sebut masa ini selepas tidak jadi menteri,” katanya pada sidang media selepas perasmian majlis ‘menetas tembikai’ di Kampung Kandis, hari ini. (Foto atas)

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin dan pimpinan tempatan.

Baru baru ini, Salahuddin dilapor mendakwa menerima tawaran percutian mewah ke Eropah daripada syarikat pengimport yang mempunyai kaitan dengan kartel daging ketika memegang jawatan sebagai menteri.

Beliau berkata, tawaran percutian mewah ke Eropah diterima ketika mengadakan kunjungan hormat bersama wakil syarikat pengedar daging import, beberapa bulan selepas dilantik ke jawatan tersebut.

Media juga membongkar taktik syarikat yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membuat pembungkusan semula dengan menggunakan logo halal untuk di pasar di negara ini.

Tindakan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu dianggap banyak pihak bertentangan dengan Akta SPRM.

Malah tahun lepas tiga kakitangan sebuah kementerian didenda mahkamah kerana tidak melaporkan cubaan sogok. – HARAKAHDAILY 12/2/2021

- Advertisement -