Percutian: Salahudin patut lebih awal lapor SPRM

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendedahan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pernah menerima tawaran percutian mewah ke Eropah daripada syarikat pengimport daging dianggap terlewat.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Shahir Adnan berkata, Dato’ Seri Salahuddin Ayub seperti menyembunyikan isu tersebut sebelum ini.

Kata beliau, sepatutnya bekas menteri terbabit membuat pendedahan awal menerima tawaran percutian mewah ketika masih lagi berkhidmat dengan kerajaan.

- Advertisement -

“Sewajarnya beliau tidak teragak-agak membuat aduan kepada SPRM lagi pun ketika itu beliau seorang menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau boleh diundurkan masa, alangkah baik kiranya isu ini dibongkar bekas menteri sendiri sehingga dikatakan ditawar penajaan percutian pihak sindiket,” ujarnya ketika dihubungi di sini.

Pesurujaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Seri Azam Baki hari ini dilapor berkata, pihaknya bersedia menyiasat pendedahan bekas Menteri Pertanian berhubung tawaran percutian.

Berikutan itu Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah menyatakan bersedia membuat laporan kepada SPRM berhubung pendedahannya mengenai syarikat sindiket daging sebelum ini.

Shahir menyifatkan pendedahan bekas menteri itu terlewat, memandangkan isu import daging halal merupakan isu besar membabitkan umat Islam di negara ini.

“Segerakan membuat laporan kepada SPRM untuk memudahkan penyiasatan pihak SPRM dan PDRM dalam isu penting tersebut,” katanya.

Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff pula berkata, pendedahan dibuat Salahuddin begitu lewat selepas hampir setahun meninggalkan jawatan menteri pertanian.

Sedangkan katanya beliau menyebut tawaran rasuah itu dibuat pada 2018 lagi.

Kata beliau, setelah beberapa bulan dilantik sebagai menteri beliau dikatakan telah mengenal pasti identiti penawar rasuah tersebut.

“Sekiranya bekas menteri terbabit serius berhubung sindiket daging perlu menamakan syarikat menguasai penyembelihan di India yang mengeksport daging beku ke Malaysia.

“Sesuatu tidak kena berlaku apabila dia menyebut tertanya-tanya siapa yang ‘menaja’ pegawai-pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), JAKIM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membuat lawatan ke loji penyembelihan di luar negara,” soalnya.

Lebih pelik lagi kata Dr Kamarul mengapa baru sekarang pemimpin Amanah menggesa kerajaan menubuh Suruhanjaya Diraja berhubung isu daging sedangkan dia seperti menyedari masalah monopoli loji penyembelihan. – HARAKAHDAILY 11/2/2021

- Advertisement -