Mursyidul Am PAS sedia terima suntikan vaksin

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

KANGAR: Selepas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kini Mursyidul Am, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin pula sedia disenarai antara kumpulan awal menerima suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, umat Islam tidak menolak vaksin dan tidak melarang sesiapa yang hendak menerima suntikan atau tidak.

Lagi pun menurutnya kes Covid-19 gelombang ketiga sekarang semakin meningkat, malah ada ketikanya mencapai lebih 5,000 kes positif harian.

“Fokus utama kerajaan sekarang untuk memastikan keselamatan rakyat dilindungi dan ekonomi pulih seperti biasa.

- Advertisement -

“Jadi semua pihak hendaklah bekerjasama dan mengetepikan perbezaan pendapat masing-masing dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) di sini hari ini.

Tuan Guru Abdul Hadi sebelum ini memberitahu sedia menjadi sebahagian kumpulan terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi pandemik terbabit.

Malah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan memberitahu beliau akan menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi meyakinkan rakyat vaksin diperolehi negara selamat.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula akhir bulan ini, dengan 80 peratus atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin secara percuma.

Program Imunisasi itu akan membabitkan tiga fasa, di mana fasa pertama melibatkan 500,000 petugas barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan.

Ustaz Hashim juga berharap ahli dan penyokong PAS terus bermunajat kepada Allah SWT supaya diangkat penyakit tersebut bagi membolehkan umat manusia menjalani kehidupan seperti biasa. – HARAKAHDAILY 11/2/2021

- Advertisement -