Kelas agama dibenar di masjid, jemaah terhad

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
- Advertisement -

KOTA BHARU: Bermula Jumaat ini kelas agama dan pembelajaran al-Quran dibenarkan di Kelantan dengan kapasiti jemaah 30 peratus daripada keluasan masjid.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) juga membenarkan solat Jumaat dan fardu di Kelantan dengan bilangan jemaah 30 peratus.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

- Advertisement -

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan solat Jumaat dan fardu dikekalkan sebagaimana yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya pada kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini MAIK mengehadkan bilangan jemaah menunaikan solat Jumaat dan solat fardu pula tidak melebihi 12 orang ekoran penularan pandemik Covid-19.

Jemaah yang dibenarkan menunaikan ibadat itu terdiri daripada imam tua, imam muda, bilal, siak serta ahli jawatankuasa masjid.

Manakala surau dan musalla pula bilangan jemaah dibenarkan tidak melebihi lima orang.

Jemaah yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk membuat saringan suhu badan dan mencatat kehadiran atau membuat imbas melalui MySejahtera.

Jemaah yang mempunyai bacaan suhu melebihi 37.4 celsius tidak dibenarkan memasuki masjid termasuk mereka yang bergejala batuk, demam, selsema dan sakit tekak. – HARAKAHDAILY 11/2/2021

- Advertisement -