Eh, aku ni kuat ‘back up’ sangat…?

- Advertisement -

KITA baca banyak komen dari rakyat berkenaan penutupan tempat-tempat ibadat kerana COVID-19. Pada kebanyakannya, kita dapat tahu yang komen itu adalah dari mereka yang bukan yang bagus pun sebab, bahasa yang digunakan banyak yang teruk. Nak tegakkan Islam, tapi maki hamun, sampai tak cukup bahasa nak tulis. Dan terbukti, bila masjid dan surau dibuka, tak ramai manapun yang hadir.

Yang benar-benar risau dengan penutupan ini ialah mereka yang beriman, kita kenal, mereka menggunakan bahasa yang baik-baik bagi meluahkan perasaan mereka. Kita dapat rasa kesedihan mereka. Mungkin itu tanda-tanda solat mereka diterima. Sebab dalam surah al-Ankabut ayat 45, dinyatakan bahawa solat itu mencegah perkara keji dan mungkar. Dan Rasulullah juga membenci orang yang suka menggunakan bahasa melaknat, maki dan seumpamanya.

Untuk isu peraturan balik dari luar negara pula, yang bising dengan peraturan baharu pemendekan kuarantin itu, dapat diagak yang mereka bukan dari luar negara. Entah-entah kapal terbang pun tak pernah naik. KLIA mungkin di ruang legar perlepasan sahaja dia pernah sampai. Tapi maki mereka kerana peraturan baharu itu, langsung tidak berkurang. Tumpang mencarutlah bila dah ada isu kan?

- Advertisement -

Aku duduk di luar negara, mulanya terkesan juga dengan keputusan ini. Hotel untuk kuarantin, kena bayar sendiri. Alah, buat hal lagi ke Kerajaan PN ini? Tapi bila sudah membaca alasan peraturan itu diubah, maka boleh difahami. Kalau sekiranya aku melakukan ‘swab test’ dua hari sebelum pulang ke Malaysia, dan hari ketiga sampai Malaysia, maka aku akan mendapat tiga hari perlepasan kuarantin, daripada 10 menjadi tujuh hari. Alhamdulillah daripada 14 hari keseluruhan dan kurang seminggu.

‘Travel bubble’ bermaksud orang itu berada dalam perlindungan pergerakan yang sangat ketat. Dan sememangnya keseluruhan pergerakan seseorang menteri itu dikawal ketat. Tiga hari sebelum ke luar negara, dilakukan ujian. Kemudian sampai, duduk dalam program dua tiga hari dengan kawalan kesihatan yang ketat. Sebelum pulang, melakukan lagi ujian dan akhirnya dikuarantinkan selama tiga hari sebelum dibebaskan. Setiap masa mereka berada dalam ‘bubble’ perlindungan itu.

Soalan yang timbul, kenapa tidak hal yang sama diberikan kepada para peniaga atau sesiapa sahaja selain menteri? Jawabnya kerana pertama menteri melakukan kerja untuk negara, peniaga pula, mungkin untuk dia sendiri. Keduanya, bagaimana mereka mahu membuktikan yang mereka dikawal ketat mengikut prosedur ‘travel bubble’ itu? Siapa yang mahu mengesahkannya? Bukankah pernah ada kes pesakit menipu maklumat sebelum ini? Yang keluar dengan gelang ‘pink’ masih di tangan pun ramai.

Minat bola tak? Liverpool ke, Manchester United ke, Barcelona ke, Real Madrid ke. Macam mana mereka boleh bermain? Ramai-ramai, sentuh-sentuh, berasak-asak, tapi penonton tak dibenarkan hadir. Nampak tak lojikkan? Ya tak lojik kalau ikut fikiran biasa. Tapi kalau ikut kaedah ‘sport bubble’ mesti kamu faham bagaimana kes positif sangat minima sebab kawalan yang ketat. Tapi boleh ke kita nak pastikan peminat juga duduk dalam ‘bubble’ dan benarkan mereka datang?

Oleh itu, di Sepanyol kes COVID-19 mereka dalam 3 juta kes, tapi bola tetap boleh main. Malaysia pula nak belajar pasal kaedah ini dan sudah benarkan sepak takraw dan hoki menjalani latihan secara ‘sport bubble’ ini. Nanti kau orang juga yang terkinja-kinja nak datang tengok. Itulah, konon minat bola, tapi bengap. Harap kau orang kutuklah banyak-banyak sukan-sukan ini ya.

Ada yang berkata tidak sama nilai nyawa menteri dengan rakyat biasa. Ini lebih kepada isu emosi kerana cuba lihat dari sudut fakta. Contoh di sebuah syarikat atau jabatan kerajaan. Adakah sama pakej perubatan antara seorang ketua atau penyelia dengan seorang kakitangan rendah? Pasti tidak sama. Jadi, adakah nyawa kakitangan rendah itu lebih murah daripada ketua mereka? Ada syarikat berikan pakej pergigian hanya kepada keluarga ketua mereka sahaja. Apa, syarikat itu ingat orang besar-besar dan keluarga dia saja ada gigi?

Dalam hal ini, ia dikira sebagai keistimewaan yang diperolehi oleh orang penting berbanding dengan orang biasa. Ia sudah lama dipraktikkan, di mana sahaja. Lihat Wan Azizah ketika mula-mula menjadi Timbalan Perdana Menteri, dalam satu lawatan beliau ke Kelantan, beliau telah angkut keluarga beliau menggunakan kapal terbang milik kerajaan. Bang Non juga ada sekali sambil tersengih. Tetapi jika peruntukan menggunakan pesawat itu dibenarkan kerajaan kepada keluarga, maka tiada isunya.

Aku telah beberapa kali menulis mengenai keistimewaan penggunaan kereta Exco Kerajaan Terengganu. Ia adalah seperti kereta sendiri, boleh digunakan membawa keluarga, ke pasar, ke sekolah dan ke mana-mana sahaja, selagi memegang jawatan itu. Juga kisah Exco Terengganu ketika menang tahun 1999-2004, telah dilekatkan nota di keretanya ketika singgah di pasar dengan pesanan yang bermaksud jangan gunakan harta kerajaan bagi kepentingan peribadi. Mereka ini yang tak faham hal keistimewaan.

Aku juga sering melintasi pemeriksaan imigresen dan mendapati ada laluan khas bagi diplomat-diplomat untuk mereka tidak perlu beratur. Ada juga bangunan khas bagi orang kenamaan. Semua ini adalah kemudahan yang dikecapi oleh mereka yang terpilih. Ingat tak dulu Lim Guan Eng naik Air Asia. Wah, bangga semua orang. Lepas itu? Ada lagi ke dia naik ? Hampeh. Mat Sabu, guna kelas ekonomi ke masa jadi menteri? Siap bawa bini lagi naik kelas perniagaan. Aku langsung tiada masalah jika itu yang termaktub dalam peraturan.

Mungkin akan orang rasa tidak puas hati. Tetapi jika di antara orang yang marah itu mendapat keistimewaan ini, adakah mereka akan membuangnya ? Mungkin ada yang akan menjawab ya. Baik, kalau dia adalah seorang ketua, mulakan dengan bayaran perubatan oleh syarikat atau jabatan dia dahulu. Samakan taraf semua orang, biar semua dapat layanan yang sama. Bukankah nilai nyawa semua manusia sama?

Pernah sekali Perdana Menteri Bangladesh berjanji dalam kempennya, beliau tidak akan menggunakan skuad pengiring di jalan raya, untuk menunjukkan sifat kerakyatannya kepada semua. Ya benar, beliau melakukan, tetapi sekejap sahaja, beliau diiringi semula polis pengiring kerana sentiasa tersekat dalam kesesakan jalan raya. Gila kau! Dhaka berapa puluh juta kenderaan ada. Jika hal yang sama berlaku kepada PH, adakah mereka akan membuang keistimewaan ini? Agak anda? Janji manifesto pun ‘out’.

Sedarlah ini hanyalah mainan kebencian PH terhadap PN dan mungkin sebahagian Umno yang masih gilakan jawatan. Digemburkan sebegitu rupa. Sudah banyak kali jadi begini, mereka cuba musnahkan gabungan kita. Politik di Malaysia, isu mesti dihangatkan sekurang-kurangnya beberapa minggu sebelum beralih isu lain kerana Melayu mudah lupa dan juga mudah bosan jika terlalu lama dengan isu yang sama. Dan engkau semua masih percaya terhadap PH, kumpulan yang engkau benci dan jatuhkan dahulu? Naifnya engkau.

Aku hanya melihat dari sudut perubahan peraturan memendekkan tempoh kuarantin sahaja. Aku tidak berkomentar berkenaan perlanggaran undang-undang. Berbeza itu. Oleh itu ketika seorang menteri didapati bersalah melanggar undang-undang kuarantin tahun lalu, maka aku tidak menyokong kesalahannya. Sama juga dengan bekas Perdana Menteri yang dituduh seleweng duit, dan akan datang lagi beberapa mantan menteri yang sedang dan akan dibicarakan, aku tidak mendukung.

Jadi aku tidaklah menulis sekadar untuk mempertahankan apa-apa sahaja dari kerajaan. Aku memilih, aku ada matlamat yang jelas kerana tahu majoriti isu, hanyalah untuk dipolitikkan dan bercampur baur dengan nanah fitnah. InsyaAllah aku cuba menulis hanya yang benar dan terbaik untuk dibaca semua. Atau engkau rasa aku ini kuat ‘back up’ sangat?

MOHD NASIR ABDULLAH
11 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 11/2/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -