Vaksin lenyapkan virus DAP-15 dalam PAS

Fikrah DAP berjaya disingkirkan perwakilan Muktamar pada 2015

- Advertisement -

MENGIMBAU kenangan PAS beberapa tahun sebelum 2015. Waktu itu kami selesa pun berada di bawah. Buat kerja jamaah dalam skop kami. Kami tak kisah siapa yang memimpin kami asalkan memandu PAS ini dengan baik dan memenuhi hasrat sebuah perjuangan Islam. Jujur kami sebut bahawa kami tak terfikir pun untuk berada di kerusi pimpinan Pusat. Buat apa cari beban kalau bebanan itu ada yang secara rela memikulnya. Yang penting jamaah selamat dan Parti Islam ini terus bergerak berpandukan bimbingan para ulamak.

Namun sayang, kamu khianati amanah kami dan ahli-ahli. Kami senyap bukan bermakna kami buta dan bisu. Kami memerhati tingkah laku kamu yang mula salah laku. Kami analisis ucapan kamu yang mula berbau hanyir. Ingat kami tak tahu ke?

- Advertisement -

(1) Kamu mula berpolitiking dengan menaja muktamar-muktamar kawasan.
(2) Ingat kami tak tahu ke kamu mula mencatur barisan kepimpinan. Kamu lagakan Allahyarham Ustaz Hassan Syukri dengan Ustaz Nasa. Kamu singkir tokoh-tokoh ulamak atas nama PAS tidak sesuai dipimpin oleh ulamak tradisional. Mereka perlu diganti dengan ulamak profesional. Penghujung permainan catur kamu ialah kamu singkirkan ulamak profesional untuk diganti dengan profesional. Kamu wujudkan blok-blok dalam jamaah.
(3) Ingat kami tak tahu ke kerja kamu menembak Presiden dengan menggunakan peluru ‘menghormati perbezaan’. Tapi dalam masa yang sama kamu membawa fikrah DAP ke dalam PAS.
(4) Kamu ingat kami tak faham ke maksud sebenar kamu bila kamu kata ‘PAS perlukan wajah baru’.
(5) Kamu ingat kami tak nampak ke bidak-bidak catur kamu yang mencatur orang-orang kamu di posisi tertentu dalam parti.
(6) Kamu ingat kami pandang sepi bila kamu menyepi saat LGE berkata ‘DAP tidak memerlukan Hadi’. Bodohlah kami kalau masih menganggap kamu adalah orang-orang yang setia dengan Presiden saat kamu tidak langsung membela beliau ketika beliau berdepan dengan kritikan Aziz Bari dan DAP.
(7) Ingat kami tak tahu ke usaha kamu melagakan Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) dengan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz (ATGNA). Dengan harapan TGHH tersingkir dari kerusi Presiden.
(8) Ingat kami dungu ke bila kamu cadangkan TGHH naik ke kerusi Mursyidul Am supaya kerusi Presiden menjadi kosong, agar mudah bagi kamu melonjakkan budak-budak kamu ke situ. Seterusnya senang untuk kamu jerut PAS agar tunduk kepada DAP.
(9) Ingat kami tak tahu ke perjumpaan sulit kamu untuk menjatuhkan Tuan Guru Presiden dengan projek ‘Langgar Hadi’. Bahkan ucapan kamu yang sulit itu tak sulit pun bagi kami. Cakap malam dengar-dengar dan cakap siang lihat-lihatlah.
(10) Ingat susah sangat ke untuk kami mengikuti perbualan kamu dalam group ‘Hawai five-O’ itu.

Untuk makluman kamu kami dah tahu semuanya sebelum perwakilan sepakat menyingkirkan kamu demi menyelamatkan parti dari terus dikhianati oleh kamu. Kamu harus belajar bahawa dalam parti ini masih ramai orang-orang yang doanya makbul, masih ramai yang celik walau tak banyak bersuara, masih ramai yang cerdik walau tak bergelar profesional, mereka masih mampu memerhati, mendengar dan meneliti. Mereka akan bertindak bila kamu sudah lupa diri. Waktu itu mereka tak kisah siapa kamu kerana mereka sayang parti ini lebih dari mereka sayang kamu. Belajarlah sebelum terlambat.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/2/2021

- Advertisement -