Razman santuni masyarakat Tionghua, calon SPM

BAGAN SERAI: ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria menyantuni masyarakat Tionghua yang berkunjung di Lorong Jetty dan pasar lama Bagan Serai dengan mengagihkan cenderahati sempena Tahun Baru Cina di sini, semalam.

Katanya, program turun padang itu merupakan tradisi tahunan Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol di mana pihaknya dapat berpeluang beramah mesra dan meraikan penduduk yang bakal menyambut Tahun Baru Cina pada 12 Februari ini.

Advertisement

Di samping itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perak turut mengingatkan agar seluruh masyarakat khususnya kaum Tionghua yang akan menyambut hari perayaan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan pihak berwajib.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Sukri Khaidir, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Ustazah Rohaya Bakar dan Ketua Lajnah Kebajikan PAS kawasan, Ahmad Mokhtar.

Bagi meneruskan jadual hariannya, Razman turut meluangkan masa menyerahkan sumbangan alat tulis kepada empat buah sekolah di sekitar Gunung Semanggol antaranya SMK Abu Bakar Al-Baqir, Maahad Ehya As Syarif, SMKA Kerian dan SMK Gunung Semanggol.

Jelasnya, sumbangan itu dijayakan pihaknya bagi meraikan calon yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Kita semua sedia maklum, peperiksaan SPM terpaksa ditangguhkan ke tahun ini berikutan pandemik Covid-19 yang melanda. Proses pembelajaran sebelum ini hanya berlaku di rumah.

“Saya berharap, semua calon (SPM) khususnya di Gunung Semanggol ini dapat terus fokus untuk melakar kejayaan dalam hidup masing-masing.

“Jadikan apa yang dilalui harini sebagai sebuah kenangan dan kejayaan yang dibanggakan di mana masing-masing akan teus komited berazam tinggi untuk menempuh kejayaan yang diidamkan. Jika bekalan sudah cukup lengkap, redah dan tempuhlah dengan yakin,” pesan Razman.

Penyerahan itu hanya dilakukan kepada pengetua di luar pagar sekolah bagi mematuhi arahan SOP PKP pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menasihatkan agar kawasan sekolah hanya dimasuki oleh pelajar, guru dan kakitangan yang bertugas sahaja. – HARAKAHDAILY 10/2/2021