Peribadi apa yang nak kau bawa ke kubur?

- Advertisement -

JANGAN risaukan bualan orang. Cukup Allah menjadi pendampingmu. Teruslah melangkah selama engkau di jalan yang benar, meski terkadang kebaikanmu tidak selalu dihargai.

Tidak usah kalut menjelaskan tentang dirimu, sebab yang menyukaimu tidak perlu itu dan yang membencimu tidak percaya itu.

Jadilah orang yang ada ‘perbadi besar’ bila engkau melangkah. Kalau patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, patah siku bertongkat dagu. Tak boleh berjalan engkau merangkak, tak boleh merangkak engkau mengesot. Namun berundur tidak sekali.

- Advertisement -
KAMALU

Dunia bukan tempat engkau rehat tapi tempat engkau bekerja. Rehatlah engkau bila sudah mati sebab itulah permulaan hidup pejuang setelah penat berjuang.

Peribadi yang besar memandang perkara yang besar itu kecil tapi kalau peribadimu kecil, perkara kecil pun engkau akan anggap besar.

Kalau hidup bercerminkan bangkai baik mati digalang tanah. Orang yang hidup ada tanda kehidupan. Jangan mati sebelum mati kerana orang yang lemah itu sudah mati sebelum menjadi mayat.

Bersahabatlah dengan peribadi yang besar nanti perbadimu pun akan menjadi besar dan sentiasa besar walaupun tubuhmu kecil.

Dibuang ke laut menjadi pulau, dibuang ke darat menjadi gunung. Diberi engkau bersyukur, diuji engkau bersabar. Namun meminta tidak sekali. Dia pukul dia yang menangis, dia kata dia yang sakit. Dia yang fitnah, dia yang mati.

Kalau kerbau berharga sebab tubuhnya. Engkau berharga sebab ‘perbadimu’. Kalau harimau mati meninggalkan belang, engkau mati tinggalkan ‘peribadi’. Cuba engkau lihat pada dirimu, apakah ‘peribadi’ yang engkau miliki untuk engkau bawa ke kuburmu? – HARAKAHDAILY 10/2/2021

Penulis ialah Presiden Pertubuhan Pendokong Dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz).

- Advertisement -