Kerajaan Saba’ yang ranap

- Advertisement -

ALLAH S.W.T menceritakan di dalam surah Saba’ mengenai kerajaan yang hancur disebabkan tidak bersyukur terhadap nikmat Tuhan. Sebagai tanda kesyukuran, sepatutnya kena melaksanakan suruhanNya.

- Advertisement -

Kerajaan Saba’ dikenali sebagai kerajaan yang kaya hasil buminya dan kuat sistem ekonominya. Ia digambar dengan petikan:

 جنتان عن يمين وشمال   

(Saba’: 15) 

Dan:

 وقدرنا فيها السير   

(Saba’: 18) 

Petikan جنتان عن يمين وشمال  bermaksud taman di kiri dan kanan digambarkan sebagai kekayaan hasil tanaman mereka.

Manakala وقدرنا غيها السير  menunjukkan bandar-bandar yang berdekatan untuk mereka mendapatkan keperluan.

Disebabkan mereka tidak melaksanakan suruhan Tuhan sebagai tanda syukur, Allah S.W.T ranapkan hasil buminya dengan terpecahnya empangan yang menjadi sumber hasil bumi mereka:

فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ

“Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.”

(Saba’: 16)

Dalam masa yang sama, mereka ditimpa bencana disebabkan ada segolongan yang meminta supaya dijauhkan perjalanan yang asalnya dekat. Perjalanan itu merupakan laluan rakyat untuk mendapat sumber keperluan mereka:

فَقَالُوا رَبَّنَا بَاعِدْ بَيْنَ أَسْفَارِنَا وَظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَجَعَلْنَاهُمْ أَحَادِيثَ وَمَزَّقْنَاهُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ

“(Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain)”, dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai…”

(Saba’: 19)

Di sini kita perlu faham bahawa antara punca azab Allah S.W.T turun kepada Kerajaan Saba’ ialah kerana wujudnya segolongan manusia yang tidak bersyukur, yang memohon kepada Tuhan agar menyukarkan orang untuk mendapatkan keperluan mereka.

Kesukaran untuk mendapatkan keperluan itu boleh digambarkan pada hari ini sebagai himpitan ekonomi disebabkan pelaksanaan sistem-sistem yang mencekik yang hanya diingini oleh segolongan manusia.  

Hari ini kita lihat sistem percukaian yang tidak selari dengan Islam, monopoli dan sebagainya yang diinginkan oleh golongan tertentu, boleh dikatakan sebagai sistem yang menyusahkan orang awam untuk mendapatkan keperluan hidupnya.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 10/2/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!