Soalan:
Kenapa Lembaga Zakat Selangor (LZS) ubah taksiran zakat wang simpanan?
Jawapan:
Ya, bermula tahun 2017 LZS mengubah kiraan atas zakat wang simpanan. Asalnya dahulu menggunakan baki terendah (sepanjang tahun atau haul) kepada baki terakhir di hujung haul.
Perubahan ini ada asasnya atau justifikasinya, iaitu:
a) Penggunaan baki terendah bercanggah dengan kaedah umum fiqh iaitu at-tabi’ tabi’ (التابع تابع) yang bermaksud: ‘Hukum ke atas anak atau hasil mengikut hukum induk.’
Sedangkan dalam kaedah simpanan hari ini di bank, akan ada pengembangan atau hasil atas pokok simpanan berkenaan. Dalam isu ini, ia dikiaskan kepada zakat ternakan.
Pandangan di dalam mazhab Shafii menyatakan: “Disyaratkan haul mestilah sempurna dan berturutan. Jika nisab kurang dipertengahan haul, biarpun untuk satu ketika, maka zakat tidak diwajibkan kecuali anak-anak yang dilahirkan oleh binatang iaitu ia mengikut haul ibunya (at-tabi’ tabi’).” (Wahbah al-Zuhayli, Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dar Al-Fikr, Damsyik, Jilid 2, 1989, hal. 745 – 746.)
b) Syarat mesti berlalu satu haul penuh untuk sesuatu harta tidak bersifat mulak dan sepakat (ittifaq) di kalangan fuqaha. Jadi, tidak disyaratkan wang yang dimasukkan kemudian atau lebih lambat ke dalam sesuatu akaun simpanan (atau dalam apa sahaja simpanan) mesti menunggu setahun baharu dizakatkan.
Dalam hal ini, Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: “Pandangan yang paling sahih adalah pandangan Imam Malik dan Shafiiyyah, iaitu kerana pensyaratan berlalunya satu haul ke atas nisab tidak mempunyai dalil yang asas padanya. Dan tiada nas yang sahih tentangnya yang mensyaratkan kesempurnaan nisab dalam satu haul. Dan wajib ke atas Muslim menjadikan awal tahun sebagai haul zakat. Bila sampai masa setiap tahun, zakat akan dikira sekiranya melebihi nisab dan tidak memudaratkan terkurangnya haul pada pertengahan tahun”. (Yusuf al-Qaradawi, Fiqh Zakah, King Abdul Aziz University, VI, hal. 168 & Maktabah Wahbah, Jilid 1, hal. 342)
Jadi, dalam kes ini fatwa telah menetapkan bahawa pemilik harta berkenaan hendaklah menentukan satu tarikh yakni pada penghujung tahun sebagai haul zakat simpanannya dan pada saat itulah dia perlu mengira semua wang simpanannya dan jika mencapai atau melebihi nisab, mengeluarkan zakatnya pada hari itu juga.
c) Dari aspek teknikal, mengambil baki terendah adalah tidak tepat dan boleh menyebabkan berlakunya manipulasi perakaunan oleh orang yang tidak amanah, sehingga mengakibatkan orang berkenaan terlepas daripada zakat.
Ia boleh berlaku apabila seseorang itu mengeluarkan wang simpanannya dari akaun A dan memasukkannya ke dalam akaun B, ataupun sebaliknya. Implikasinya, akan berlaku pengurangan baki dalam akaun A sedangkan ia hanya dipindahkan ke akaun B.
Nanti di hujung haul, jika diambil baki terendah maka apa yang berlaku, baki terendah dalam akaun A setelah dipindahkan ke akaun B ialah RM5,000 dan baki terendah dalam akaun B sebelum menerima pindahan dari akaun A ialah RM1,000.
Jumlah keseluruhannya hanya RM6,000. Padahal jika dilihat pada penghujung haul, baki akhir pada kedua-dua akaun A dan akaun B ialah RM30,000. Jumlah ini sudah pun melebihi nisab dan wajib dizakatkan.
Walau bagaimanapun, dalam kiraan zakat wang simpanan, semua wang yang dimasukkan dari hasil-hasil yang telah dizakatkan adalah dikecualikan zakat.
Misalnya dari hasil bersih jualan rumah yang sudah dizakatkan, atau wang dari pengeluaran KWSP yang sudah dizakatkan atau wang dari lebihan gaji atau pendapatan bulanan yang telah pun dizakatkan, lalu dimasukkan ke dalam akaun yang sama.
Maka semua wang ini perlu dikeluarkan dari kiraan zakat wang simpanan berkenaan agar tidak berlaku kiraan dua kali (repetition) dan zakat dua kali ke atasnya.
Formulanya:
Jumlah simpanan hujung haul – wang yang sudah dizakatkan = Jika mencapai atau melebihi nisab x 2.5 peratus = Zakat.
Kesimpulannya, apabila pihak LZS membuat perubahan dengan menambah baik Fatwa Kutipan Zakat 2013 itu pada tahun 2017, realitinya ia telah membawa kepada ketepatan dalam kiraan zakat wang simpanan.
Ia sekali gus dapat memastikan harta kita benar-benar sudah bersih dengan zakat, tanpa ada yang tertinggal dan mengakibatkan kurangnya keberkatan.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 10/2/2021
(Tulisan di atas diambil daripada laman Facebook Lembaga Zakat Selangor.)
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!