KUALA LUMPUR: Industri sawit memainkan peranan yang penting dalam menangani situasi pandemik yang dihadapi negara pada ketika ini, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
Katanya, sabun dan pencuci yang merupakan antara medium terpenting sebagai pembasmi virus Covid-19 adalah diperbuat daripada minyak sawit.
Beliau berkata, bahan asas alkohol pembersih tangan yang digunakan secara meluas untuk menghapuskan virus tersebut juga boleh dihasilkan dengan minyak sawit.
“Secara tidak langsung, penggunaan produk berasaskan sawit juga telah membuka peluang perniagaan kepada pengusahapengusaha farmaseutikal pada waktu dan ketika yang mencabar ini,” ujarnya sempena Pelancaran Maya Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’, hari ini.
Menurutnya, menyedari hakikat itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mengambil inisiatif menyempurnakan prapelancaran kempen Sawit Anugerah Tuhan pada 19 November yang lalu.
Katanya, kempen itu bertujuan memberi kesedaran dan menyemai perasaan bangga dan penghargaan ke atas sumbangan besar minyak sawit kepada negara selama ini.
“Diterajui oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), kempen ini akan menumpukan peranan minyak sawit dalam pembangunan sosioekonomi, pemakanan, kesihatan dan farmaseutikal, pemuliharaan alam sekitar serta industri makanan dan bukan makanan,” katanya.
Sememangnya, ujar beliau Sawit Anugerah Tuhan, ia memberi manfaat bukan hanya kepada manusia malah juga haiwan.
Tambahnya, daripada akar sehingga ke pucuk, daripada batang pokok hingga ke pelepah dan juga daun, pada buah termasuk isi dan sabut, semuanya memberi manfaat kepada manusia dan haiwan pada pemakanannya, malah juga pada kesihatan dan farmaseutikal.
Dalam kempen itu, jelasnya pelbagai aktiviti promosi yang menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat Malaysia serta menggabungkan elemen pendidikan, tarikan visual, nilai estetik serta penggunaan media sosial akan dilaksanakan sehingga ke penghujung tahun 2021.
Katanya lagi, adalah menjadi hasrat beliau untuk melihat Kempen Sawit Anugerah Tuhan berjaya mencapai sasarannya.
“Kita yakin menerusi kempen yang baik dan tersusun semua orang pasti menerima fakta-fakta tentang minyak sawit dan mengakui pelbagai manfaatnya kepada pembangunan ekonomi dan sosial, kesihatan dan pemuliharaan alam sekitar serta biokepelbagaian.
Tambahnya, kempen sebegini adalah permulaan yang baik untuk mencapai sasaran tersebut.
“Rakyat kita pasti menjadi benteng bagi melindungi komoditi pertanian utama negara kita ini sebagai permulaan untuk mengajak dunia bersama-sama kita memperjuangkan hakikat bahawa sawit adalah anugerah Tuhan untuk alam.
“Saya juga berharap orang ramai akan mengambil kesempatan melalui kempen ini untuk berlumba-lumba mendapatkan maklumat yang tepat di samping mengenali minyak sawit kita dengan lebih dekat lagi,” katanya.
Beliau berkata, dengan pelbagai manfaat dan kebaikan yang dimilikinya, minyak sawit merupakan satu anugerah tuhan yang tidak ternilai dan perlu dilindungi sepanjang masa. – HARAKAHDAILY 10/2/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!