Masyarakat Cina akur SOP sambut Tahun Baru

- Advertisement -

ALOR SETAR: Masyarakat Tionghua di sini menyambut baik langkah kerajaan membenarkan hanya 15 orang sahaja menghadiri majlis Makan Besar Keluarga sempena Tahun Baru Cina tahun ini.

Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kedah, Kuan Kok Siang berkata, keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai tidak dapat meraikan sambutan itu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Yang ada ahli keluarga atau anak-anak tinggal di luar tidak dapat pulang, jadi wajarlah jumlah 15 orang seperti ditetapkan kerajaan.

“Lagi pun kalau dibenarkan ramai yang hadir, ada rumah keluarga kaum Cina yang miskin bukan besar sangat pun,” kata beliau di sini.

- Advertisement -

Baru-baru ini kerajaan bersetuju membenarkan ahli keluarga terdekat dari kediaman lain menyertai acara Makan Besar Keluarga sempena Tahun Baru Cina pada 11 Februari dengan syarat tidak melebihi 15 orang.

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, kebenaran itu membabitkan mereka yang tinggal dalam lingkungan radius 10 kilometer, tanpa rentas daerah dan negeri.

Kerajaan juga bersetuju membenarkan aktiviti keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Bagaimanapun, Kuan Kok Siang memberitahu masih terdapat rungutan sebahagian masyarakat Cina yang tidak berpuas hati dengan SOP berkenaan.

Namun katanya rata-rata menyambut balik berikutan negara sekarang berada dalam suasana PKP akibat penularan Covid-19.

“Ramai masyarakat Cina juga bersetuju aktiviti kunjung mengunjung tidak dibenarkan. Kebanyakan mereka faham dalam suasana Covid dan PKP sekarang.

“Kunjung mengunjung tidak digalakkan. Kalau nak juga cukuplah sekadar lingkungan 10 kilometer yang dibenarkan,” ujar Kuan.

Malah pada sambutan Aidulfitri tahun lepas umat Islam juga tidak dibenarkan melaksanakan solat sunat Hari Raya di masjid dan surau.

Manakala kunjung mengunjung hanya dibenarkan pada hari raya pertama dengan jumlah tidak lebih 20 orang dalam satu-satu masa.

Manakala dalam perkembangan lain Kuan yang juga Pegawai Khas Menteri Besar (Hal Ehwal Masyarat Cina) berkata, sebanyak 783 hamper sumbangan kerajaan negeri diagih ke semua Dun di Kedah.

Katanya, sumbangan itu termasuk wang tunai RM50 diberi kepada setiap keluarga yang melibatkan peruntukan hampir RM100,000.

Menurut beliau, agihan bergantung kepada jumlah masyarakat Cina di setiap Dun atau daerah dengan memberi keutamaan mereka yang kurang berkemampuan. – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -