MESKIPUN dalam tempoh PKP, namun usaha dalam memperjuangkan perlindungan dan kebajikan kanak-kanak tidak bernoktah. Sebanyak 36 aktivitis bersidang atas talian bersama-sama saya bagi mengutarakan pandangan serta merencanakan usaha bersepadu ke arah pembelaan dan perlindungan hak kanak-kanak di negara ini agar lebih terbela. Terima kasih kepada semua aktivis yang terlibat.
Untuk makluman semua, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama UNICEF sedang menambahbaik Dasar Kanak-kanak Negara sedia ada agar ia lebih komprehensif. Penglibatan NGO dan masyarakat amat dialu-alukan dalam memberi input yang boleh membantu KPWKM merealisasikan hasrat ini.
KPWKM juga sedang meneliti cadangan yang dikemukakan oleh UNICEF berkenaan ‘Strengthening Social Assistance for Children and Families in Malaysia’ dan juga amalan terbaik Antarabangsa bagi penambahbaikan penyampaian perkhidmatan bantuan sosial untuk kanak-kanak dan keluarga.
Semakan semula dan penambahbaikan kepada Seksyen 29A Akta Kanak-kanak 2001 untuk penambahan elemen penalti kepada mereka yang tidak melaporkan penderaan kepada pihak berkuasa turut dibangkitkan. Sudah tiba masanya untuk kita semarakkan semangat ‘Kita Jaga Kita’ dan menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan untuk melapor sebarang kejadian yang mencurigakan.
Di samping itu, Jabatan Perkhidmatan Awam pada 5 Februari 2021 telah meluluskan pelantikan seramai 224 orang (Fasa Pertama) Pegawai Pelindung dan Pegawai Akhlak secara kontrak. Pelantikan ini adalah satu usaha pengukuhan pelaksanaan perkhidmatan perlindungan dan pemulihan yang diberikan oleh JKM. Terima kasih JPA!
Di bawah Belanjawan 2021, kementerian telah diluluskan peruntukan bagi penubuhan Pusat Sokongan Sosial Setempat termasuk pemantapan sistem Talian Kasih Pusat Sokongan sosial ini sebagai Pemudah cara atau solution oriented, tempat berlindung atau penempatan sementara bagi kes-kes yang memerlukan perlindungan.
Sesungguhnya KPWKM tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak. Harapan saya agar semua ibu bapa akan terus menyayangi anak-anak yang merupakan anugerah berharga dari Tuhan. Sayangilah anak anda. Anak adalah permata negara.
YB DATUK SERI RINA MOHD HARUN
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – HARAKAHDAILY 9/2/2021