Beg stoma RM200 hanya mampu bertahan 5 hari

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Bayangkan satu kotak beg stoma yang mengandungi 10 unit berharga RM200 hanya untuk kegunaan dalam tempoh lima hari sahaja.

Itu tidak dikira lagi harga susu formula khas bagi menguatkan sedikit tenaga.

Kisah kesukaran itu dikongsi seorang bekas tentera yang kini menderita penyakit kanser usus sejak tiga tahun lalu.

- Advertisement -

Azman Abdullah, 58, kini terlantar di katil di ruang tamu rumahnya di Kampung Panggung. Beliau terpaksa menggunakan beg khas (stoma bag) bagi proses membuang air besar.

Beliau juga terpaksa memakai lampin buang untuk membuang air kecil.

Isterinya, Fauziah Mat, 57 berkata, wang persaraan bulanan sebanyak RM1,600 hanya tinggal RM800 selepas dipotong pinjaman dengan sebuah bank bagi membeli sebuah rumah.

“Suami pernah menjalani pembedahan dan rawatan kimoterapi di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

“Dan sekarang menjalani rawatan susulan secara berkala di Unit Radioterapi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), namun darah dan nanah masih lagi keluar bersama najis menerusi saluran beg stoma,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, Azman diziarahi Pengerusi Pertubuhan Cakna Bantu Rakyat Pasir Puteh, Mohd Nizam Che Mohd Ali.

Fauziah juga berkata, kos menampung membeli keperluan perubatan suaminya pernah ditanggung seorang anaknya yang bekerja di ibu kota.

Bagaimanapun katanya, syarikat tempat anaknya bekerja tidak lagi beroperasi memandangkan pandemik Covid-19 dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kata beliau perbelanjaan membeli lampin pakai buang dan beg khas untuk pembuangan air besar setiap bulan begitu membebankan keluarga.

Sementara itu, Mohd Nizam berkata, pihaknya berusaha membantu pesara tentera terbabit mendapat manfaat Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, orang ramai yang simpati dengan nasib pesara tentera terbabit boleh menghubungi Fauziah di talian 014 8313 682 atau menyalur sumbangan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03-090-02-058829-0 atas nama Fauziah Mat. – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -