Awas, agenda tersirat buku Tommy Thomas

- Advertisement -

TIDAK mungkin Tommy Thomas seorang yang gagal memeriksa kandungan dan tanpa sedar menulis apa yang terkandung dalam buku memoir My Story: Justice In the Wilderness.

Tidak mungkin seorang peguam terkemuka dan pernah menjawat jawatan sebagai Peguam Negara adalah seorang yang tidak memahami konteks kesan kepada apa yang dia tulis dalam buku beliau khasnya ia juga menjadi bahan komersial untuk dijual dan dibaca khalayak umum.

Tidak mungkin Tommy Thomas tidak tahu implikasi undang-undang yang bakal dan akan dihadapi akibat lontaran pandangan atau maklumat yang ditulis dalam bukunya itu.

Ada yang menyatakan bahawa buku ini separuh masak dan hanya berlegar sekitar luah rasa dari ruang lingkup pandangan Tommy Thomas yang kita ketahui juga susur galurnya di mana dia juga mengakui asal usul ibu bapanya juga mentuanya.

- Advertisement -

Ada pula yang mendakwa buku ini terlalu tergesa-gesa ditulis mengenai memoir diri Tommy Thomas sedangkan ramai tokoh yang mengambil masa bertahun lamanya untuk menulis sebuah karya memoir.

Namun beberapa perkara menarik yang didedahkan Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas mengenai agenda sebenar buku ini ditulis sedemikian rupa.

Dr Kamarul Yusoff dalam tulisannya menyebut bahawa sebagai ingatan, buku Tommy Thomas haruslah dibaca dalam konteks pelbagai.

Pertamanya kata beliau, pengakuan Tommy Thomas bahawa hanya Liew Chin Tong dan Syahredzan Johan pemimpin parti (DAP) yang diberi tugas menyemak, membetul, mengesahkan dan meluluskan buku ini.

Bagi penulis pula, agenda buku ini bukan kecil, kerana ia disemak oleh dua pemimpin DAP di mana salah seorangnya adalah peguam (Syahredzan Johan), masakan seorang peguam tidak cakna mengenai soal implikasi undang-undang melainkan buku ini memang mahu membawa satu mesej yang tertentu kerana kita tahu hubungan rapat penulis dengan parti DAP.

Keduanya mengikut Dr Kamarul Yusof, pengakuan Tommy Thomas menyokong dan sangat memuji ideologi sosialis demokratik, iaitu satu ideologi yang juga menjadi pegangan rasmi kepada DAP.

Secara terang lagi bersuluh bahawa penulis buku ini (Tommy) cenderung kepada idealogi yang sama dengan parti yang dirapati.

Pengakuan Tommy Thomas tertarik dengan prinsip Malaysian Malaysia, iaitu satu prinsip yang menjadi teras kepada perjuangan DAP dan sebelumnya PAP.

Ia menjelaskan lagi bagaimana kefahaman dan pemikiran penulis buku itu dalam melihat aspirasi parti yang dirapatinya itu.

Keempat, pengakuannya ibu bapanya menyokong pemimpin DAP dan tidak pernah mengundi parti kerajaan walau keduanya makan gaji dengan kerajaan ini menggambarkan bahawa penulis buku berkenaan sejak sekian lama didoktrin dalam keluarga dalam ruang lingkup pemikiran parti yang didukungi keluarganya. Maka kesan psikologi pastinya terlekat kemas dalam minda penulis buku terbabit mengenai aspirasi parti yang didukungi ibu dan bapanya.

Dr Kamarul Yusoff juga menyatakan bahawa penulis buku tersebut mengakui mendengar (bersama bapanya) ceramah C V Devan Nair dan V David dalam PRU 1964 dan ceramah V David dalam PRU 1969.

Ia membayangkan bagaimana penulis buku terbabit sebenarnya sedari awal lagi meminati aliran pemikiran yang amat dekat dengan parti yang didukungi kalangan keluarganya hingga bahan-bahan berbentuk ceramah umum tokoh tertentu menjadi rujukannya.

Keenam, apabila Dr Kamarul Yusoff mendedahkan bahawa Tommy Thomas mengakui menemui dan menasihati Lim Kit Siang dan Karpal Singh pada akhir 1987 bila mewakili Lim Kit Siang dalam kes UEM, maka bagi penulis ia satu isyarat jelas penulis buku ada hubungan samada secara langsung mahupun tidak dengan tokoh terkenal DAP.

Seterusnya tulis Dr Kamarul, pengakuan Tommy Thomas menemui Karpal Singh untuk meminta restunya (dan Lim Kit Siang) ke atas hasratnya menjadi Peguam Negara, membayangkan bagaimana adanya hubungan antara pemimpin DAP dengan beliau secara langsung malah pengakuan Tommy bahawa Lim Kit Siang pemaklum/pemberi tahniah pertama bila Majlis Presiden PH memilih dan YDPA melantiknya menjadi Peguam Negara ini satu pengakuan berani selepas beliau tidak lagi berkepentingan dalam kerajaan dan pastinya konotasi pengakuan ini memberi gambaran pengaruh besar semasa beliau menjawat jawatan kerajaan.

Malah pengakuan kenal rapat para pemimpin DAP, termasuk Gobind Singh, M Kulasegaran dan Teresa Kok, sesetengahnya selama berdekad-dekad dan pengakuannya marah kepada pemimpin-pemimpin Melayu PH kerana tidak mempertahankan menteri-menteri DAP bila mereka diserang membayangkan apa persepsi sebenar DAP dalam membentuk kerajaan bersama sekutunya PKR, PAN, dan beberapa parti lain sebelum ini.

Benar telahan ramai bahawa DAP amat mengharapkan agar adanya parti Melayu yang boleh menjadi defender mereka dalam membawa naratif sosialis mereka yang sebenarnya sebelum ini menjadi taboo dalam kalangan masyarakat Melayu khasnya apatah lagi ada sesetengah pemimpin mereka yang secara terang mempromosi idealisme komunis khasnya semasa mereka menerajui negara.

Ia telah dan mengakibatkan amarah dalam kalangan kaum Melayu apatah lagi terdapat pemimpin secara individu dalam PH khasnya mereka yang bersama Bersatu ketika itu amat tidak selesa dengan cara DAP membawa imej PH dengan anasir demikian.

Berulang kali isu ini bergentayangan di dalam masyarakat khasnya hingga menyebabkan adanya gerakan yang terpaksa dilakukan bagi menyekat idealisme demikian, ditambah dengan sikap bertentangan mereka dengan soal Istana serta Agama Islam.

Pada hemat penulis, buku ini harus dilihat dalam konteks menguasai minda masyarakat khasnya kalangan mereka yang beraliran kiri dalam menyebar luaskan lagi pemikiran dan pandangan yang negatif kepada kerajaan sama ada kerajaan BN terdahulu, PH (dalam konteks sisi negatif pemimpin Melayu) dan kerajaan yang ada kini.

Apatah lagi kita dapat melihat beberapa pendedahan yang disifatkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan bahawa buku ini ‘mengarut’ dan banyak fakta yang diragui.

Namun dalam masa yang sama, harus diingat kelompok ini tidak akan berdiam malah akan melebarkan pandangan serta isme mereka kepada rakyat yang hari ini rata-ratanya mudah termakan propaganda jahat RBA tajaan mereka.

Awas, agenda tersirat buku kontroversi ini… – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -