‘Pakat Bantu’ institusi zakat, ‘Kami Ada’ untuk asnaf

- Advertisement -

SAYA merasa terharu melihat sokongan anak-anak muda yang berkongsi kisah mereka berjaya menghabiskan pelajaran dengan bantuan zakat. Saya mendoakan anak-anak yang tumbuh ilmunya dengan zakat ini, akan berjaya dengan cemerlang dan menjadi pakar dalam bidang masing-masing.

Semoga mereka ini akan menjadi penyumbang terbesar zakat negeri masing-masing dan membantu lebih ramai anak muda yang susah untuk menyambung pelajaran pada masa depan. Di pihak kerajaan pula, di samping meneruskan bantuan kepada asnaf sedia ada, banyak prosedur yang kita cuba mudahkan terutamanya dalam membantu golongan asnaf baru yang muncul sepanjang kita mengharung ujian COVID-19. 

- Advertisement -

Zakat Kecemasan telah diperuntukkan kepada pihak terjejas pendapatan, selain itu, terdapat juga bantuan topeng muka, thermometer, dan cecair pembasmi kuman yang kita salurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). 

Kita sangat mengharapkan agar serangan dan tohmahan kepada institusi zakat dihentikan. Tohmahan sebegini boleh menjejaskan nasib para asnaf apabila ada pihak yang termakan dengan cerita tidak betul sehingga memilih untuk menghentikan pembayaran zakat melalui pusat zakat.

Saya cadangkan agar sahabat-sahabat sekalian mulakan dengan mengikuti atau ‘follow’ akaun media sosial institusi zakat setiap negeri untuk mendapatkan maklumat agihan bantuan.

Kita mungkin tidak terkesan apa-apa dengan tohmahan kepada institusi zakat, tapi pilihlah untuk sama-sama #PakatBantu dengan menyumbang kepada pembangunan institusi zakat.

Semoga dengan bantuan kita menyebarkan berita yang baik dan benar mengenai institusi ini akan memberi peluang kepada lebih ramai asnaf untuk dibantu. #KamiAda untuk asnaf.

YB AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 8/2/2021

- Advertisement -