Jam 5 pagi isi petrol dalam 59 tong

- Advertisement -

JELI: Pasangan suami isteri antara lima individu yang ditahan dalam rampasan sebanyak 59 tong berisi petrol dianggarkan berjumlah 1,740 liter.

Ketua Polis Daerah Jeli, DSP Ahmad Arifin berkata, operasi di Stesen Minyak Caltex Batu Melintang di sini pagi semalam itu menahan empat lelaki dan seorang wanita.

- Advertisement -

Menurut beliau, hasil rampasan tersebut membabit tiga kereta bersama satu tong kosong itu bernilai RM6,858.30 dikatakan akan diseludup ke negara jiran, Thailand.

“Lebih kurang jam 5 pagi anggota peronda, ternampak tiga kenderaan dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi minyak.

“Hasil pemeriksaan dilakukan menemui tong petrol dan mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit yang sah dari pihak berkuasa bagi urusan jual beli,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Jeli di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Ahmad Azizi Abdul Kadir.

Ahmad juga berkata hasil rampasan itu diserahkan kepada KPDNHEP untuk dilakukan siasatan lanjut.

Menurutnya juga anggota polis turut menahan pengurus stesen minyak terbabit kerana disyaki terlibat kes tersebut.

Kata beliau semua individu terlibat dikenakan siasatan dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan untuk melakukan kesalahan.

Empat kompaun juga dikeluarkan kepada individu terbabit di bawah Peraturan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan merentasi daerah. – HARAKAHDAILY 8/2/2021

- Advertisement -