Kisah demokrasi di Amerika Syarikat

- Advertisement -

KISAH demokrasi di Amerika Syarikat, awal tahun ini dunia dikejutkan dengan berita pencerobohan penyokong Donald Trump yang menyerbu Capitol Hill, Washington DC, Amerika Syarikat ketika Kongres dan Senat Amerika Syarikat sedang bersidang untuk mengesahkan keputusan Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat yang berlangsung pada November tahun lalu.

Pencerobohan itu mengakibatkan lima kematian, seorang daripadanya adalah anggota polis yang bertugas mengawal bangunan di Capitol Hill manakala empat orang lagi adalah penyokong Donald Trump.

Amerika Syarikat yang dikatakan ‘ibu’ kepada demokrasi dunia kononnya, berasa malu dengan kejadian tersebut malah ada pemimpin politik negara tersebut menggambarkan bahawa kejadian tersebut adalah sangat buruk jika dibandingkan dengan insiden yang berlaku di negara dunia ketiga.

- Advertisement -

Apabila kita menyelami dunia politik Amerika Syarikat saat ini atau lebih tepat lagi ketika era Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, kita pastinya akan melihat dan membaca strategi kotor dan tidak beretika politik negara tersebut yang berselindung di sebalik demokrasi yang ‘tempang’.

Mengapa penyokong-penyokong Donald Trump menyerbu Capitol Hill ketika Kongres dan Senat Amerika Syarikat sedang bersidang untuk mengesahkan keputusan Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat?

Ia adalah kerana selepas kekalahan Donald Trump pada Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat kepada Joe Biden, beliau dan penyokong tegarnya mengatakan bahawa berlakunya penipuan berleluasa ketika pengundian dijalankan walaupun telah dinafikan oleh William Bar, Peguam Negara Amerika Syarikat ketika itu dan beberapa gabenor negeri yang mana negeri-negeri tersebut menjadi tumpuan ketika pilihan raya presiden yang lalu.

Apa yang menimbulkan kemusykilan, William Bar dan gabenor-gabenor tersebut adalah daripada parti Republikan, parti yang sama dengan Donald Trump. Malah beberapa negeri seperti Georgia dan Pennsylvania, dijalankan pengiraan undi semula sehingga dua dan tiga kali akibat daripada berita mahupun khabar angin berlakunya penipuan dalam pilihan raya tersebut.

QAnon, sebuah kumpulan tegar berhaluan kanan yang berasaskan teori konspirasi yang menjadi pendukung kuat Donald Trump menyebarkan berita palsu tersebut kepada penyokong-penyokong Donald Trump. Malah QAnon juga banyak menyebarkan berita-berita palsu dan tidak masuk akal hanya untuk kepentingan politik Donald Trump.

Berita tersebut disambut pula oleh kumpulan-kumpulan ekstremis berhaluan kanan seperti Proud Boys, Boogaloo Bois dan beberapa kumpulan lagi sehingga merancang serbuan di Capitol Hill serta menyeru penyokong-penyokong Donald Trump untuk bersama mereka dalam serbuan tersebut.

Saluran media berhaluan kanan juga merosakkan demokrasi di Amerika Syarikat, umpama indah khabar dari rupa. Media seperti Newsmax dan One America News menyebarkan berita palsu tersebut kepada penyokong-penyokong Donald Trump sehingga menaikkan lagi kemarahan penyokong Donald Trump yang mempercayai berita tersebut.

Akhirnya berlakulah insiden yang memalukan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia dan ibu kepada sistem demokrasi dunia yang mana akibat daripada insiden tersebut ia memungkinkan demokrasi di Amerika Syarikat dianggap palsu semata-mata. Mungkin ada yang akan bertanya, apakah relevannya perkara yang berlaku di Amerika Syarikat dengan Malaysia?

Relevannya, kita perlu belajar dari kesilapan mereka terutamanya dalam arena politik kerana kita juga adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan suasana politik dalam negara kita juga boleh dikatakan panas dan agak tegang.

Benar, kita tidak sama seperti Amerika Syarikat kerana budaya, adat dan keterbukaannya dalam segala sudut begitu berbeza dengan kita yang berasal dari timur yang penuh dengan adat, budaya dan kepatuhan kita kepada agama masing-masing.

Namun jika kita perhatikan suasana politk kita saat ini, keterujaan segelintir daripada kita mengikut kaedah politik yang boleh dikatakan hampir sama dengan Amerika Syarkat mula menampakkan benih-benih ketaksuban, malah ikutan dan ketaksuban ini sudah mula membuatkan ramai yang risau, resah dan kecewa.

Hakikatnya budaya politik seperti apa yang berlaku Amerika Syarikat saat ini sudah mula mewarnai dan menyeresapi budaya berpolitik di negara kita yang tercinta ini.

Umpamanya ketika berlakunya pilihan raya sama ada pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil, acap kali berlakunya insiden seperti pertengkaran dan pergaduhan sehingga mengakibatkan kecederaan sama ada kecil atau serius.

Berita-berita palsu, fitnah, pencerobohan akaun media sosial, aksi membuli di media sosial akibat perbezaan politik, serangan-serangan peribadi bermotifkan politik dan ciptaan akaun palsu yang menyerang mangsa politik secara tidak bertamadun dan di luar etika keagamaan serta budaya sudah tidak dipedulikan lagi.

Oleh sebab itu, semua amalan yang tidak sihat serta di luar norma adat, budaya dan agama ini patut kita jauhi dan tinggalkan kerana ia mampu mengundang perbalahan dan dosa.

Akibat daripada perbezaan politik dan pendapat berkenaan politik, keluarga berpecah belah, persahabatan hancur malah ada suami isteri yang bercerai-berai. Segala yang disebutkan tadi berlaku dalam negara kita saat ini akibat keterujaan dan ketaksuban berpolitik.

Mungkin jika kita biarkan dan pandang sambil lewa, tidak mustahil lama kelamaan apa yang berlaku di Amerika Syarikat akan terjadi dalam negara kita sendiri. Saya pasti ramai yang tidak mahu keadaan sebegitu berlaku dan pastinya ramai dalam kita mahu hidup dalam keadaan aman dan damai.

Suasana Muktamar Tahunan PAS.

Maka disebabkan itulah Islam seharusnya menjadi teras dalam berpolitik, yang haram tetap haram dan yang salah tetap salah. Berpolitik tanpa panduan agama adalah umpama kita sesat mencari jalan pulang ke kehidupan yang hakiki iaitu kehidupan yang diredhai dan diberkati Allah SWT dunia mahupun akhirat.

Fitnah dan menyebarkan berita palsu adalah haram, memporakperandakan kehidupan seseorang mahupun keluarga adalah salah, membuli adalah salah, bergaduh adalah salah dan banyak lagi perbuatan berkaitan berpolitik jika berpandukan kepada Islam termasuk dalam hukum haram dan bersalah.

Politik bukan lesen untuk kita berbuat sesuka hati dan melebihi had. Tidak guna kita berbangga sebagai seorang Islam jika kita memfitnah kerana berpolitik, mengaibkan seseorang tanpa asas yang kukuh dan menyebarkan berita palsu kerana yang haram dalam Islam tetap berdosa dan salah tidak kira apa sekalipun alasannya.

Umpama kita berbangga sebagai seorang Islam tetapi sekalipun tidak pernah solat, berpuasa, berzakat, tidak pernah berbakti kepada ibu bapa dan keluarga malah kita langsung tidak mengendahkan apa yang dituntut oleh agama dan Allah SWT.

Oleh itu, berpada-padalah dalam berpolitik kerana dosa tidak mengenal parti dan ideologi. Ikut perintah dan larangan Allah SWT, nescaya hidup kita penuh keberkatan dan rahmat tetapi jika ingkar dan berbuat sesuatu yang haram serta salah, hidup kita tidak akan aman dan penuh dengan kesesatan serta kejahilan.

Daripada membuang masa melakukan perkara yang tidak berfaedah serta sia-sia, lebih baik kita memberikan penumpuan kepada keluarga dan masa depan kita. Tambahan lagi penularan wabak Covid-19 ketika ini begitu mencengkam seluruh kehidupan kita, ianya lebih bermanfaat jika kita lakukan yang terbaik demi untuk masa depan kita dan keluarga. – HARAKAHDAILY 7/2/2021

- Advertisement -