Pujuk berjemaah di surau, rupanya untuk ditinggalkan

Foto daripada Facebook LZS.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sejurus mendapat maklumat mengenai seorang warga emas tidur di sebuah surau di Subang, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) bergegas untuk membantu beliau memandangkan Selangor adalah negeri tertinggi kes Covid-19 buat masa ini.

Bagi LZS, tentunya bahaya sekiranya golongan berisiko tinggi tidur di tempat-tempat awam.

“Pilu hati kami ketika beliau berkongsi cerita bagaimana beliau telah ditinggalkan di sebuah surau. Beliau tidak mempunyai zuriat kerana belum berumahtangga.

“Sebelum ini, beliau dijaga oleh anak saudaranya,” jelas LZS menerusi laman sosial Facebooknya.

- Advertisement -

Kata LZS, namun sejak kesihatannya yang semakin merosot, ditambah pula dengan suasana yang tidak menentu kerana PKP, ahli keluarga yang menjaganya telah meninggalkan beliau di salah sebuah surau.

Menurutnya, peringkat awal beliau tidak menjangkakan akan diperlakukan sedemikian.

“Pujukan ahli keluarganya mengajak beliau ke surau tersebut untuk berjemaah, rupanya adalah perancangan untuk meninggalkan beliau di surau berkenaan,” ujar LZS.

Katanya, pakaian juga telah siap diletakkan di dalam beg untuk bekalan beliau.

“Ketika kami sampai, beliau mengadu yang kakinya sakit akibat jangkitan kuman, perutnya lapar dan berada dalam keletihan.

“Alhamdulillah, setelah berunding, beliau bersetuju ditempatkan di sebuah rumah kebajikan Rufaidah Home Care Services di Dengkil,” ujarnya lagi.

Foto daripada Facebook LZS.

Zakat Selangor akan menanggung kos penjagaan dan juga kos rawatan beliau.

Sehubungan itu, LZS mengucapkan terima kasih kepada pengeluar zakat.

“Kami cuba sedaya upaya untuk salurkan zakat anda kepada mereka yang berhak. Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka,” kata LZS lagi. – HARAKAHDAILY 6/2/2021

- Advertisement -