Peraturan ujian RBPT sudah lama wujud

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dalam konteks Negeri Terengganu, pengambilan sampel darah bagi ujian Rose Bengal Plate Test (RBPT) tidak dipraktikkan dalam kes pemindahan ternakan antara daerah dalam negeri tetapi telah dikuatkuasakan untuk pemindahan ternakan antara negeri.

“Negeri-negeri lain sudah lama menguatkuasakan ujian RBPT bagi pemindahan ternakan antara daerah,” kata Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini..

- Advertisement -

Katanya, Brucellosis adalah penyakit zoonosis iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia.

Menurutnya, kerana itu adalah sangat mustahak untuk memastikan bahawa haiwan ternakan yang dipelihara dan disembelih bebas dari Brucellosis melalui pengambilan sampel darah untuk ujian RBPT.

Jelasnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang mengkaji dari pelbagai aspek untuk menguatkuasakan SOP ujian RBPT itu dalam kes pemindahan antara daerah dengan mengambil kira semua kepentingan sama ada penternak dan rakyat sebagai pengguna yang setakat ini belum dikuatkuasakan lagi.

Untuk info, katanya ujian sampel darah RBPT itu adalah percuma, boleh dibuat di lapangan dengan keputusan serta merta on the spot.

“Saya menerima banyak sungutan dan bantahan dari penternak dan pemborong haiwan ternakan berkaitan cadangan untuk menguatkuasakan pengambilan sampel darah ternakan ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri dipersalahkan kerana kononnya telah mewujudkan peraturan baru yang menyusahkan penternak sedangkan sebenarnya peraturan itu telah sedia ada serta sudah lama wujud.

Beliau berkata, sebelum sesuatu peraturan dikuatkuasakan, ruang perbincangan telah dan akan terus dibuka seluasnya untuk mewujudkan situasi menang-menang.

Katanya lagi, peranan kerajaan ialah untuk menjaga kepentingan semua pihak.

Tambahnya, selain dari untuk menjamin daging ternakan yang disembelih selamat dimakan oleh manusia, ternakan yang akan dipindahkan juga perlu dipastikan sihat agar tidak berlaku pembawaan wabak penyakit seperti FMD, Brucellosis dan Hawar Berdarah ke kawasan lain ekoran dari pemindahan yang berlaku.

Beliau menjelaskan, pemindahan ternakan dalam negeri dari daerah ke daerah atau dalam daerah di Terengganu termaktub dengan perundangan Warta Kerajaan Negeri Terengganu T.r.P.U 10 & T.r.P.U 4 iaitu Perintah Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut dan Hawar Berdarah (HS) yang berkuatkuasa sejak tahun 2006.

Katanya, perintah itu dibuat di bawah Seksyen 36 Akta Binatang 1953 yang mana peraturan sudah lama wujud. – HARAKAHDAILY 6/2/2021

- Advertisement -