Kerap lakukan sanitasi ruang solat – MAIK

Foto hiasan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan masih mengekalkan peraturan solat fardu Jumaat sehingga 50 jemaah sahaja di masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim.

Manakala bagi solat fardu lima dibenarkan tidak melebihi jumlah 12 orang termasuk imam tua, imam muda, bilal, siak dan ahli jawatankuasa masjid.

Solat fardu lima waktu di surau dan musala pula dibenarkan hanya lima jemaah termasuk imam, bilal dan jemaah yang terpilih.

Masa masjid, surau dan musala dibuka satu jam sebelum waktu solat dan perlu ditutup selepas solat disempurnakan.

- Advertisement -

Jawatankuasa masjid dan jemaah hendaklah sentiasa mengamalkan normal baharu dengan mengadakan kaunter di pintu masuk yang dihadkan bilangannya bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah.

Selain itu kerap melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wuduk.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, jawatankuasa masjid, surau dan musala wajib mempunyai petugas mencukupi bagi membantu kawalan jemaah.

“Kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera atau borang daftar hadir atau direkodkan dalam buku kehadiran yang mesti disimpan sekurang-kurangnya tempoh dua minggu,” katanya pada satu kenyataan di sini.

Peraturan itu diperkenan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri, selaras peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Ia dikuatkuasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut Tengku Mohamad Rizam pintu masjid dibuka sejam sebelum azan, manakala pintu dan tingkap masjid wajib dibuka sepanjang solat didirikan.

“Penggunaan pendingin hawa tidak digalakkan. Jemaah perlu melaksanakan penjarakan sosial di dalam dan luar masjid, sejauh satu meter antara satu sama lain.

“Jemaah diwajibkan memakai penutup muka. Jemaah yang bergejala atau menghidap penyakit kronik, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan jemaah berumur 70 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir,” ujarnya.

Selain itu semua ahli jemaah yang hadir diwajibkan membawa sejadah sendiri.

Tidak dibenarkan bersalaman sesama jemaah yang hadir.

Kata beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan prosedur operasi standard (SOP) tersebut hendaklah dipatuhi sepenuhnya pihak pengurusan masjid.

“Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP berkenaan. MAIK amat mengharap kerjasama semua pihak dalam melaksanakan ketetapan tersebut.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 5/2/2021

- Advertisement -