Fakta buku Thomas diragui – GU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas di dalam buku autobiografinya memberikan impak yang sangat menyeleweng kerana membenarkan kepalsuan berleluasa, kata Presiden Geng Ustaz (GU), Ustaz Kamalulhysham @ Farhan Mohd Suhut.

Menurutnya, berkenaan dengan rentetan insiden yang mengakibatkan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai sesuatu yang menyeleweng dan terpesong daripada fakta sebenar yang telah diputuskan oleh Mahkmah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019.

“Tommy dalam buku memoirnya My Story: Justice in the Wilderness telah mengatakan antara lain, kononnya kecederaan Adib adalah diakibatkan pengunduran kenderaan bomba dan kenderaan yang dinaiki Adib.

- Advertisement -

“Adib dilihat cuba memasuki kenderaannya dan ketika itulah beliau dihimpit, maka ia tidak disengajakan,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Hakikatnya kata beliau, Muhammad Adib terkorban ketika menjalankan tugas sebagai ahli Unit EMRS, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dalam insiden rusuhan kaum di Kuil Sri Mariamman.

Ujarnya, kematian beliau terpalit dengan isu perkauman apabila ada pihak yang menutup dan memesongkan fakta sebenar sehingga timbul keperluan untuk mengadakan inkuiri menyiasat punca kematiannya.

“Proses ini yang berjalan dengan penuh tertib akan menjadi tidak ternilai jika Tommy dibenarkan untuk terus mengeluarkan kenyataan menyeleweng di dalam memoirnya.

“Tommy seharusnya menghormati bukan sahaja keputusan inkuiri yang telah dibuat oleh Mahkamah Koroner tetapi lebih utama, pengorbanan nyawa seorang anak muda yang sehingga kini masih belum terbela,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya mendesak kerajaan untuk membuka semula kertas siasatan terhadap perusuh yang telah menyebabkan kematian anggota bomba berkenaan.

“Di bawah Artikel 3, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR), setiap orang mempunyai hak untuk hidup dengan bebas dan selamat.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk memastikan hak ini terpelihara dan jika wujud pelanggaran kepada hak ini, pihak yang melanggar ini harus dipertanggungjawabkan di bawah undang-undanh yang berkuatkuasa,” katanya lagi.

Di dalam buku memoirnya itu juga antara lain menghina kewibawaan Yang di-Pertuan Agong, fakta palsu mengenai bekas Perdana Menteri dan institusi penjawat awam serta pelbagai lagi dakwaan rekaannya. – HARAKAHDAILY 5/2/2021

- Advertisement -