Biden kaji semula kedudukan pertahanan global

- Advertisement -

WASHINGTON: Presiden Joe Biden pada Khamis berkata Amerika Syarikat (AS) akan mengkaji semula kedudukan pertahanan globalnya, satu langkah yang boleh mempengaruhi jumlah tentera yang ditempatkan di luar negara, termasuk di Korea Selatan, lapor Agensi Berita Yonhap.

“Hari ini, saya mengumumkan langkah tambahan untuk memperbetulkan dasar luar kita dan menyatukan nilai demokratik dengan kepimpinan diplomatik.

“Sebagai permulaan, Setiausaha Pertahanan Austin akan memimpin kajian kedudukan global terhadap kekuatan kita, supaya tindakan ketenteraan kita sesuai dengan dasar luar dan keutamaan keselamatan negara,” kata Biden dalam ucaptamanya mengenai keselamatan negara dan dasar luar.

- Advertisement -

Tambah beliau rancangan penempatan semula tentera AS di Jerman akan dibekukan semasa tempoh semakan semula.

Ia menandakan penamatan dasar pemerintahan Donald Trump yang sering menggunakan penempatan semula atau penguduran tentera untuk menekan sekutu AS supaya menawarkan lebih banyak perbelanjaan untuk pertahanan bersama.

Trump juga mengugut menarik balik tentera AS dari Korea Selatan di tengah rundingan perkongsian perbelanjaan ketenteraan yang tertangguh untuk menempatkan sekitar 28,500 askar di Semenanjung Korea.

Seoul dan Washington masih belum menyambung rundingan perkongsian beban sejak Biden memegang jawatan pada 20 Januari. Bagaimanapun, setiausaha pertahanan baharu, Lloyd Austin, sebelum ini dilaporkan merancang untuk menyelesaikan rundingan dengan Seoul secepat mungkin.

Biden mengulangi pentingnya pakatan itu.

“Melabur dalam diplomasi bukan hanya ia perkara yang betul untuk dunia. Kita melakukannya supaya dapat hidup dalam kedamaian, keamanan dan kemakmuran. Kita melakukannya demi keselamatan negara.

“(Ketika) kita memperkukuh pakatan kita, kita sebenarnya sedang memperkuat kuasa serta kemampuan kita untuk menghalang ancaman sebelum mereka menggugat negara kita.

“Diplomasi adalah “nadi kepada semua yang ingin saya lakukan. Anda adalah nadinya,” katanya berucap di hadapan diplomat AS sempena lawatan pertamanya ke Jabatan Negara sejak memegang jawatan pada 20 Januari.

Biden berkata memimpin dengan diplomasi bermaksud bekerjasama dengan rakan dan musuh.

“Sekutu Amerika adalah aset terbesar kita, dan memimpin dengan diplomasi bermaksud kembali berdiri bersama-sama dengan sekutu dan rakan kongsi kita. Memimpin dengan cara diplomasi juga bermaksud melibatkan musuh dan pesaing kita secara diplomatik,” katanya.

“Kita akan bersaing dari posisi yang kuat, dengan membangunkan kembali tanah air, bekerja dengan sekutu dan rakan kongsi, memperbaharui peranan kita dalam institusi antarabangsa dan mengembalikan kredibiliti dan kewibawaan moral kita, yang sebahagian besar telah hilang,” tambah beliau. – BERNAMA

- Advertisement -