Judisiari: Kerajaan PH telus sekadar omongan

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Apa yang diuar-uarkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pentadbiran mereka telus dan bebas campur tangan politik dalam judisiari (kehakiman) akhirnya terdedah juga.

Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas mendedah keadaan sebaliknya dalam buku terbaharunya My Story: Justice in the Wilderness.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, berdasar apa yang ditulis dalam buku terbabit jelas menunjukkan ada campur tangan eksekutif dalam urusan judisiari.

Katanya, dakwaan bekas Peguam Negara terbabit menggambarkan bagaimana soal judisiari ada campur tangan oleh eksekutif.

- Advertisement -

“Dengan campur tangan tersebut bagaimanakah keadilan dapat ditegakkan di negara ini.

“Pendedahan tersebut secara jelas menggambarkan apa yang diuar-uarkan pemimpin PH sebelum ini tidak lebih sebagai omong kosong sahaja.

“Malah sebelum ini mereka mengkritik hebat kerajaan lama di bawah Barisan Nasional dalam soal kehakiman, jadi gambaran yang diberi sebelum ini PH telus semuanya sebagai omongan sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini.

My Story: Justice in the Wilderness turut mendedahkan punca utama kejatuhan gabungan PH ekoran tindak tanduk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah Tommy mengkritik tindakan bekas perdana menteri terbabit membubarkan kabinet selepas beliau meletak jawatan.

“Perlu diingat peletakan jawatan Tun bersifat peribadi, hanya sebagai perdana menteri. Perletakan jawatan itu tidak dibincangkan dalam pejabat mahupun kerajaan,” dakwa Tommy.

Idris juga berkata, rakyat sepatutnya bersyukur kerajaan PH hanya mampu bertahan 22 bulan, dapat mengelakkan lebih banyak kerosakan berlaku dalam sistem perundangan negara.

Justeru itu beliau berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada sekarang tidak mengulangi perkara yang dilakukan kerajaan PH sebelum ini.

Sebelum ini pemimpin PH mendakwa parti itu sangat profesional dan telus selain tidak pernah campur tangan dalam mana-mana isu institusi kerajaan. – HARAKAHDAILY 4/2/2021