‘Adakah ini persepsi ciptaan Tommy kerana kegagalannya’

Shahir Adnan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelantikan jawatan-jawatan penting dalam negara seharusnya dibuat melalui Dewan Rakyat dan bukan melalui Pejabat Perdana Menteri.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, bekas Peguam Negara Tommy Thomas adalah lantikan politik Pakatan Harapan (PH) yang dilihat senada dengan DAP.

Bagaimanapun, katanya selepas kerajaan PH tumbang bekas Peguam Negara memberi pendedahan berbeza sehingga akhirnya disangkal Perdana Menteri yang melantiknya sendiri.

- Advertisement -

“Seharusnya tidak ada campur-aduk kuasa perundangan dan eksekutif. Malangnya, pimpinan PH juga gagal dalam usaha transformasi sistem perundangan negara.

“Mereka tidak melaksanakan janji-janji pembaharuan yang digariskan dalam Manifesto Pakatan Harapan ketika itu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, melalui bukunya yang bertajuk My Story: Justice in the Wilderness membuka konflik baharu politik di negara ini.

Shahir berkata, apa yang dilakukan Tommy disifatkan melangkaui prinsip menjaga sumpah rahsia dan sumpah setia jawatan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi IKATAN Kelantan meyifatkan, tuduhan yang menyatakan peguam kerajaan tidak layak dan tidak kompetan menjalankan tugas mereka dianggap perbuatan menghina dan berniat jahat.

Katanya tindakan itu secara tidak langsung memburukkan institusi Jabatan Peguam Negara itu sendiri.

“Adakah ini persepsi ciptaan Tommy kerana kegagalannya untuk menerajui Jabatan Peguam Negara dan memahami pentadbiran perkhidmatan awam.

“Beliau seharusnya bertanggungjawab untuk memberikan pandangan yang membina agar negara dapat bergerak ke hadapan,” ujarnya.

Sehubungan itu, DPIM menggesa semua pihak tidak merendah-rendahkan mana-mana pihak yang lain.

“Fokus kita sekarang melawan wabak Covid-19. Masa terluang yang ada seharusnya dimanfaat untuk membina negara, bukan menjatuhkan maruah negara dan institusi legislatif.

“Mungkin Tommy hilang arah setelah hanya sempat berkhidmat 20 bulan sebagai Peguam Negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2021