KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu hari ini mengumumkan pemberian insentif secara ‘one-off’ dengan jumlah peruntukan sebanyak RM132,200 kepada pemain industri pelancongan yang terjejas pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Ariffin Deraman berkata insentif tersebut akan diagihkan kepada 50 penarik beca dan 18 pemandu bot penambang dengan masing-masing akan menerima RM400.
Beliau berkata insentif RM250 pula akan diberikan kepada 44 pemandu teksi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), pemandu pelancong yang masih aktif (99), pemandu dan pekerja rumah bot Tasik Kenyir (244) serta malim gunung (33).
“Seperti yang kita tahu kebanyakan sektor terutama sektor pelancongan menghadapi kerugian yang besar akibat pandemik COVID-19.
“Sebagai contoh rumah bot di Tasik Kenyir, kalau diikutkan tempahan yang diterima penuh sehingga Mac tahun ini, namun apabila berlaku PKP banyak tempahan dibatalkan dan ia menjejaskan pendapatan pengusaha dan pekerja rumah bot tersebut,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurutnya, insentif tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank setiap penerima seawal minggu hadapan.
Dalam pada itu, Ariffin berkata kerajaan negeri kini sedang merangka strategi untuk mempromosikan produk pelancongan Terengganu dalam kalangan penduduk di sini sebagai persediaan sekiranya larangan merentas negeri masih dilaksanakan.
“Kita memang akan buat promosi antara daerah ke daerah yang lain bagi menghidupkan pusat pelancongan di negeri ini. Kita juga yakin akan sampai satu masa merentas negeri dibenarkan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan pada waktu itu kita harapkan industri pelancongan Terengganu kembali rancak,” katanya. – BERNAMA