Skuad remaja gigih jalani latihan maya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menyedari bakal berdepan saingan sengit pada kejohanan hoki Piala Remaja Lelaki Asia 2021 di Dhaka, Bangladesh pada Julai ini, skuad remaja negara gigih menjalani latihan secara dalam talian bagi memastikan mereka cukup bersedia menghadapi saingan tersebut.

Ketua Jurulatih Skuad Projek Khas Lelaki, Wallace Tan berkata pihaknya telah merangka modul latihan secara dalam talian dengan kesemua pemain perlu merakam sesi latihan yang dilakukan mereka.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melaksanakan latihan dalam talian kepada skuad kebangsaan sejak pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Jan lepas, supaya barisan pemain berada pada tahap prestasi terbaik menghadapi sebarang kejohanan tahun ini.

- Advertisement -

Dalam satu rakaman video oleh KHM kepada media hari ini, Wallace percaya kesemua pasukan pasti akan mempamerkan aksi terbaik ekoran kejohanan tersebut menawarkan kelayakan ke kempen hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 di India, hujung tahun ini.

“Pertandingan kelayakan ini boleh dikatakan sengit kerana semua pasukan hendak layak. Jadi yang penting kita perlu fokus pada satu-satu perlawanan dahulu.

“Kini semua pemain berlatih secara dalam talian. Mereka telah menunjukkan kerajinan dan berlatih bersungguh-sungguh,” katanya mengulas mengenai undian kejohanan itu yang diumumkan Persekutuan Hoki Asia (AHF), pada Isnin (1 Feb).

Kejohanan Piala Remaja Lelaki Asia 2021 yang ditangguh dua kali berikutan pandemik COVID-19 sah akan diadakan di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani di Dhaka, dari 1 hingga 10 Julai ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Jepun, China, Singapura dan Uzbekistan manakala pasukan tuan rumah, Bangladesh dalam Kumpulan A terdiri dari India, Korea Selatan, Pakistan dan Taiwan.

Skuad remaja negara akan memulakan aksi pada 2 Julai menentang Uzbekistan, diikuti berdepan China (4 Julai), Jepun (5 Julai) dan Singapura (7 Julai). Aksi final dijadual berlangsung pada 10 Julai. – BERNAMA

- Advertisement -