Peranan wanita bukan hanya di dapur

Kumutha Raman
- Advertisement -

WANITA Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat bagaikan isi dan kuku dengan wanita dalam Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), yakni tidak dapat dipisahkan.

Ia seperti yang termaktub dalam misi dan visi DHPP menyuburkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli penyokong PAS dengan ahli DHPP.

- Advertisement -

Dalam hal kempen pilihan raya dan seumpamanya badan yang didukungi wanita menerusi platform perpaduan ini bersatu hati membantu gerak kerja PAS.

Mereka juga menyatukan usaha dan pandangan penyokong-penyokong PAS di setiap peringkat selain memahami dengan baik dasar dan tujuan PAS demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

Kedua-dua pertubuhan ini telah diberi kepercayaan khusus dalam usaha menggerakan kempen pilihan raya.

Ketua Wanita DHPP, Kumutha Raman berkata penglibatan wanita dalam gelanggang politik untuk membuktikan wanita boleh keluar dari kepompong pemahaman budaya orang terdahulu bahawa wanita selalu berada di dapur dan urusan domestik dalam lingkungan keluarga.

“Wanita pada hari ini boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan iaitu golongan profesional, bukan profesional bekerja seperti biasa dan suri rumah tangga.

“Peratusan penglibatan wanita dalam gelanggang politik di negara ini masih rendah berbanding golongan lelaki.

“Mungkin masih ramai wanita terkepung dengan persoalan bagaimana penglibatan dan penerimaan wanita Malaysia terhadap arena politik tempatan.

“Persoalanya, adakah rakyat akan terima, ini persoalan yang masih berlegar selain ramai lagi wanita memikirkan diri sendiri macam tidak layak,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Sebahagian besar wanita pada zaman ini berpendidikan tinggi, bijak dan berfikiran kritis tetapi enggan untuk berada di barisan hadapan sebagai pemimpin negara.

Justeru itu, Kumutha mensyaratkan wanita pada hari ini harus keluar dari pemikiran sedemikian untuk sama-sama berganding bahu memimpin negara.

Dengan ini katanya, rakyat tidak akan menidakkan keupayaan golongan hawa kerana mereka mempunyai kebijaksanaan tersendiri khasnya dalam melaksanakan aktiviti turun padang seperti menyalurkan bantuan dalam misi kecemasan dan bertemu masyarakat untuk kempen pilihan raya.

Ini kerana sifat keibuan dan personaliti yang ada pada wanita berupaya menambat hati khalayak.

Menurutnya, ia juga amat bergantung kepada keinginan wanita sama ada mahu atau tidak, jika mahu secara tidak langsung tiada apa yang dapat menghalang golongan tersebut dari meneroka bidang politik dan kepimpinan.

Malah, sebenarnya penglibatan wanita dalam arena politik amat diperlukan kerana golongan itu mampu membantu sesebuah negara untuk meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

“Meskipun wanita layak bergelar pemimpin tetapi dalam konteks negara dan persepsi keyakinan dan kepercayaan rakyat lebih utuh kepada pentadbiran yang dipimpin oleh lelaki.

“Pada masa hadapan, tidak mustahil Malaysia bakal mempunyai pemimpin dalam kalangan wanita sekali gus mengikut jejak langkah negara-negara lain yang berani melakukan transisi,” ujarnya lagi.

Kehadiran wanita dalam politik katanya lagi mewujudkan keseimbangan antara jantina dan membina masyarakat yang adil dan saksama.

Beliau juga tidak menidakkan peranan wanita yang utama harus ditinggalkan sebaliknya tanggungjawab terhadap keluarga harus dikekalkan dan diseimbangkan sekali gus memperlihatkan wanita lebih ‘multi-tasking‘ kerana bijak mengurus hal keluarga, rumah tangga, masyarakat, parti dan negara.

“Penglibatan wanita dalam arena politik merupakan objektif untuk memperkasakan wanita dalam politik yang mempunyai potensi untuk membawa perubahan dalam masyarakat.

“Golongan ini boleh membawa perubahan terhadap polisi dasar negara yang memfokuskan kepada golongan wanita, kanak-kanak dan keluarga.

“Usaha ini boleh ditentukan dengan melahirkan pemimpin yang cekap dan berkesan sebagai peranan membimbing kaum wanita dalam pelbagai bidang baik secara langsung atau tidak langsung,” kata Kumutha. – HARAKAHDAILY 3/2/2021

- Advertisement -