PAS terus main peranan orang tengah

- Advertisement -

KATA Perdana Menteri (PM) sejurus selepas Darurat ditarik balik sama ada pada atau sebelum 1 Ogos nanti berkemungkinan besar PRU ke-15 akan diadakan. Bagaimana persiapan PAS, Umno dan BERSATU, 3 parti terbesar yang mendukung Kerajaan PN selain parti-parti lain termasuk dari Sabah dan Sarawak?

Mampukah dalam tempoh Darurat ini PAS, Umno dan BERSATU selesaikan apa sahaja masalah dan perbezaan antara mereka untuk menghadapi PH satu lawan satu dalam PRU ke-15 nanti? Zakiah Koya mengulas isu ini dalam akhbar The Star hari ini dengan mendedahkan bahawa konflik secara amnya adalah antara Umno dan BERSATU yang punya banyak pertindihan dalam tuntutan kerusi masing-masing.

- Advertisement -

Umno menuntut untuk bertanding di semua kerusi yang dimenanginya termasuk kerusi yang calon berkenaan telah lompat menyertai BERSATU. Ini termasuklah kerusi Larut, Jeli, Hulu Terengganu, Mersing, Sabak Bernam dan lain-lain. Manakala BERSATU pula mendakwa menurut Zakiah calon yang naik selain dari yang telah menang (incumbent) akan ditolak oleh pengundi.

Ternyata isu ini besar dan kedua parti seakan tidak dapat mencapai satu penyelesaian yang muktamad. Dan sementara itu menurut sumber Zakiah, PAS akan terus main peranan sebagai orang tengah cuba mendamaikan dan mencari jalan penyelesaian yang boleh diterima kedua pihak. Apapun jelas usaha untuk mencari jalan penyelesaian sedang dirintis. Dan ini satu perkembangan yang baik.

Bagi PAS sebagaimana sering ditegaskan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang keutamaannya adalah memperkukuhkan gabungan parti-parti Melayu Islam. MN dan PN mesti dikuatkan. Ini supaya kepimpinan Islam yang kuat bersatu dapat ditegakkan. 

Tambah Tuan Guru lagi jika gabungan tadi gagal bersatu dan orang Melayu kembali berpecah akhirnya negara sekali lagi akan didominasi oleh bukan-Melayu. Sedangkan menurut Tuan Guru, kitab fikah Islam mensyaratkan kepimpinan Islam mesti ditegakkan dalam masyarakat yang didominasi umat Islam.

Tugas menjadi pendamai dan orang tengah ini tidak mudah tetapi demi membina penyatuan ummah yang berkekalan yang bakal menjamin sebuah negara yang adil dan sejahtera PAS sanggup memain peranan.

Semoga usaha PAS dan kesungguhan semua pihak dapat menawarkan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat dan umat Melayu Islam serta rakyat Malaysia amnya. Tak Melayu hilang di dunia… syaratnya kukuh bersatu jangan lagi berpecah.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 3/2/2021

- Advertisement -