KUALA LUMPUR: Atlet profesional skuasy negara ini yang juga juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David telah mendapat undian tertinggi dalam talian dengan 23 calon lain mewakili sukan masing-masing dalam sejarah 40 tahun temasya sukan (1981-2017) anjuran Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa.
Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) percaya untuk meraih kejayaan besar sebegitu bukanlah sesuatu yang mudah dan semestinya banyak juga ujian dan cabaran yang dilalui.
“Semangat ‘wira’ Datuk Nicol ini sewajarnya dicontohi oleh anak muda di luar sana tidak kiralah dalam bidang apa sekalipun baik pelajaran, sukan, perniagaan dan sebagainya,” ujar Pengerusi Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi DMPM, Mardhiah Hayati Zolkeplai dalam satu kenyataan.
Justeru, katanya pihak DMPM berbesar hati mengucapkan tahniah buat lagenda skuasy negara, atas anugerah itu.
“Semoga terus memberikan inspirasi buat semua kerana terus mengharumkan nama negara Malaysia tercinta,” katanya.
Nicol yang menerima Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia kekal di kedudukan teratas untuk 109 bulan berturut-turut, menewaskan 23 lagi atlet selepas mendapat undian tertinggi menerusi pemilihan dalam talian di laman sesawang, Sukan Dunia https://www.theworldgames.org.
Selaku calon tunggal Asia, Nicol membuktikan beliau berada di dalam kelas tersendiri sejak hari pertama pengundian pada 8 Jan apabila menerima 318,943 undi, meninggalkan pencabar terdekat James Kehoe, seorang atlet tarik tali dari Ireland dengan kelebihan 200,000 undi.
Kehoe memperoleh 113,120 undi untuk berada di tempat kedua diikuti atlet powerlifting dari Ukraine, Larysa Soloviova, di tempat ketiga dengan 80,790 undi. – HARAKAHDAILY 3/2/2021