Berhati-hati beli komputer semasa pandemik

Mohideen Abdul Kader
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dengan kemunculan perniagaan dalam talian dan pelajar yang perlu belajar melalui dalam talian, terdapat lonjakan dalam permintaan bagi komputer dan komputer riba.

Terdapat juga tekanan untuk memilikinya untuk bersaing dalam situasi semasa yang mencabar ini.

Walau bagaimanapun, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berharap agar pengguna yang mahu membeli peranti atau peralatan iTU agar lebih berhati-hati terhadap penipuan, jaminan, dan harga.

“Cuba untuk tidak membeli melalui media sosial seperti Facebook atau WhatsApp kerana tidak mungkin untuk kita mengetahui kebolehpercayaan penjualnya,” ujar Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Katanya, ia mungkin memberi alasan bahawa terdapat akaun bank yang sah di mana bayaran boleh didepositkan tetapi penerima (pemegang akaun bank) mungkin apa yang dikenali sebagai ‘keldai wang’.

Menurutnya, ‘keldai wang’ ialah seseorang yang dibayar bagi perkhidmatan dengan sejumlah kecil wang yang dipindahkan.

Katanya lagi, keldai wang mungkin tidak menyedari bahawa akaunnya digunakan bagi pemindahan wang haram daripada pembeli kepada pengendali penipuan.

“Kemungkinan sukar untuk mengesan (atau tidak mampu untuk mengesan) pengendali penipuan yang mungkin berada di negara lain,” ujarnya lagi.

Orang ramai juga boleh memeriksa jika akaun bank mereka atau orang lain digunakan dalam penipuan atau aktiviti penipuan lain di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

Justeru, ujar beliau adalah dinasihatkan untuk memiliki peralatan terpakai atau diperbaharui daripada seseorang yang dikenali dan diketahui boleh dipercayai.

Alasannya, kata beliau ialah jika berlaku sesuatu yang tidak kena, pembeli dengan mudah mencari orang itu berbanding mereka yang tinggal jauh.

Tambahnya, terdapat kes mereka yang membeli barangan elektronik daripada negeri lain dan mendapati peralatan itu rosak.

“Adakah terdapat sebarang jaminan apabila anda membeli sesuatu peranti itu?” soalnya.

Menurutnya, sesetengah pengeluar membenarkan pembeli untuk memeriksa jaminan secara dalam talian berdasarkan number siri peranti.

Katanya, jika pembeli membeli daripada seseorang yang anda kenal dan tinggal berdekatan, mungkin dia boleh mengujinya sebelum membuat keputusan untuk membelinya.

“Terdapat kes di mana seorang wanita membeli iPhone dengan ‘tawaran terbaik’. Beliau membayarnya dan menerima bungkusan.

“Beliau membukanya dan mendapati kunci berkarat (tanpa sebarang anak kunci) di dalamnya dan panggilannya disekat apabila beliau cuba untuk menghubungi penjual.

“Jika ia produk baharu yang anda beli, buatlah tinjauan untuk melihat spesifikasi dan harganya. Jangan terburu-buru untuk membelinya,” ujarnya.

Beliau berpesan agar mendapatkan nasihat rakan-rakan yang mempunyai pengetahuan di dalam bidang itu jika diperlukan kerana pembeli perlu membeli sesuatu yang sesuai dengan tujuannya.

Menurutnya, peranti atau peralatan, bagi kebanyakan transaksi perniagaan seperti bayaran secara dalam talian dan pendidikan dalam talian memerlukan sambungan Internet.

“Sekali lagi anda perlu menentukan perkhidmatan Internet yang manakah terbaik untuk anda kerana sambungan beberapa talian Internet mungkin tidak baik di kawasan anda.

“Minta pandangan jiran anda dan pertimbangkanlah maklum balas mereka yang mungkin dapat menjadi panduan dalam anda membuat keputusan,” katanya.

Bagi kerajaan, kata beliau pendidikan secara dalam talian tidak dapat dielakkan semasa pandemik ini, tetapi pertimbangkanlah bagi mereka daripada keluarga B40, kebanyakannya tidak mampu untuk memiliki komputer riba yang juga memerlukan sambungan Internet untuk pendidikan dalam talian.

Menurut beliau, mereka inilah yang akan tertinggal di belakang dalam pembelajaran mereka.

“Kami sekali lagi mengulangi gesaan kepada pengguna agar lebih berhati-hati apabila membeli komputer atau komputer riba (lama, diperbaharui atau baharu) kerana mereka menjadi sasaran penipu atau mereka yang mengambil kesempatan terhadap mereka yang membuat keputusan terburu-buru sebagai mangsanya.

“Kami juga turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk terus memantau penjualan peralatan computer,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/2/2021

- Advertisement -