Terengganu masih terkawal – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kes jangkitan Covid-19 di Terengganu terkawal dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertingkatkan aktiviti kesihatan awam di negeri ini bagi membendung penularan pandemik itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi wabak Covid-19 di Terengganu masih terkawal, walaupun negeri itu pernah mencatat kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi minggu lalu.

- Advertisement -

“Walaupun sebelum ini, Terengganu negeri zon hijau tetapi aktiviti merentas negeri telah menjadikan kes (jangkitan) bertambah dan Rt atau kadar kebolehjangkitan meningkat, tetapi jumlah kes (Covid-19) masih terkawal, Insya’Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Berkaitan isu 48 petugas kesihatan di hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang dijangkiti Covid-19, katanya proses pembersihan dan sanitasi di hospital berkenaan masih dijalankan.

Terengganu kini mencatatkan sejumlah 2,142 kes positif Covid-19 termasuk 83 kes baharu hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Vaksin Covid-19 tiba di Malaysia 26 Februari

Mengulas mengenai vaksin Covid-19, kata Dr Noor Hisham, negara dijangka akan menerima bekalan fasa pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 26 Februari ini.

Katanya, vaksin itu akan diagihkan ke negeri-negeri secara berperingkat dalam tempoh antara satu hingga dua minggu.

“Apabila (vaksin) tiba di pintu masuk antarabangsa, kemudian kita akan agihkan secara berperingkat ke negeri-negeri dalam tempoh satu hingga dua minggu,” jelasnya.

Menurutnya, setakat ini seramai 141 sukarelawan telah menerima suntikan bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin Covid-19 atau SARS-COV-2, yang ditaja oleh Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS).

Malaysia dilaporkan membeli 12.8 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma. – HARAKAHDAILY 2/2/2021

- Advertisement -