Muslimat Indera Mahkota hiba pemergian Salihah

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: PAS Kawasan Indera Mahkota kehilangan seorang amilin istiqamah, Salihah@Habidah Ahmad, 64, yang kembali ke rahmatullah di Institut Kanser Negara, Putrajaya pada 26 Januari lalu.

Almarhumah yang menghidap kanser meninggalkan suami dan tujuh anak di mana semuanya telah berkeluarga kecuali anak bongsu berusia 16 tahun dan tinggal bersama di Bangi sejak berpindah ke sana 3 tahun lalu.

Sepanjang hayatnya yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan Beserah Tengah, Almarhumah selalu melaksanakan kerja-kerja jamaah setiap kali pulang daripada kerja terutama semasa PRU.

- Advertisement -

“Perginya Almarhumah sangat terkesan di hati kami, kerana walaupun terbatas tenaga kerjanya, namun sering memberi bantuan kewangan kepada jemaah.

“Almarhumah juga mempunyai ramai anak murid yang belajar mengaji dengannya sebelum sakit kansernya berulang kali ke dua,” kata Ketua As-Sabiqat Muslimat PAS Indera Mahkota, Hasnah Arshad.

Mantan Ketua Muslimat Beserah Tengah, Ustazah Zuryati Mohamad pula berkata, Almarhumah bersama suaminya Abdul Talib Hashim adalah di antara perintis yang turut mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit di peringkat awal Cawangan Beserah Tengah dibuka.

“Malahan rumah beliau juga dijadikan sebagai tempat untuk gerak kerja jemaah, iaitu tempat untuk bermesyuarat, usrah dan ceramah umum terutama menjelang pilihan raya diadakan.

“Walaupun Almarhumah bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah kerajaan ketika itu, namun kariernya itu, tidak menjadi penghalang bagi beliau untuk bergerak aktif bersama kami 

“Semoga Allah S.W.T menerima segala amalan almarhumah, dihapuskan semua dosa dan dikurniakan sebaik-baik ganjaran.

“Mudah-mudahan amalan baiknya menjadi peneman dan penerang dalam perjalanan untuk bertemu Allah Rabbul Jalil,” ujarnya lagi. 

Jenazah Almarhumah telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Rincing Hilir, Selangor pada keesokan harinya, 27 Januari. – HARAKAHDAILY 2/2/2021

- Advertisement -