Demokrasi di Myanmar perlu dipulih kembali

- Advertisement -

KOTA BHARU: Suasana demokrasi di Myanmar diharap dipulihkan kembali bagi mengelak impak buruk berlaku terhadap negara itu.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata situasi yang berlaku di negara paling bongsu dalam entiti ASEAN itu sudah pasti akan memberi kesan terhadap perkembangan politik dan ekonomi negara-negara serantau.

- Advertisement -

Katanya, perbincangan lanjut dalam kalangan pemimpin Myanmar perlu segera dilakukan bagi mengelak kesan buruk terhadap rakyat serta negara Myanmar, lebih-lebih lagi ketika situasi sukar sekarang akibat penularan Covid-19.

Semua pihak berkaitan di negara itu digesa agar mengutamakan keamanan dan keselamatan, mempertahankan kedaulatan undang-undang.

“Wajar menyelesaikan sebarang percanggahan elektoral melalui mekanisme undang-undang dan dialog secara aman” katanya ketika dihubungi, di sini.

Semalam Myanmar dilapor menyaksikan rampasan kuasa oleh junta tentera. Berikutan itu Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Myanmar U Win Myint dan pegawai-pegawai kanan ditahan di ibu kota Naypyidaw.

Rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar tercetus ekoran ketegangan selama berminggu-minggu antara tentera dengan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi dan kerajaan pimpinannya.

Suu Kyi dan pemimpin awam lain ditahan tentera sebelum Parlimen bersidang buat kali pertama selepas pilihan raya umum pada November lalu yang menyaksikan partinya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) menang besar.

Media antarabangsa melaporkan tentera Myanmar mengambil alih negara itu menerusi rampasan kuasa serta mengisytiharkan darurat selama setahun.

Tentera juga menahan pemimpin politik dan pegawai kanan kerajaan atas dakwaan penyelewengan dalam pilihan raya negara tersebut November 2020. – HARAKAHDAILY 2/2/2021

- Advertisement -