Darurat di Malaysia tiada pembangkang ditahan

Shahir Adnan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) mengecam tindakan rampasan kuasa di Myanmar oleh pihak tentera kerana menidakkan suara rakyat dan mengumumkan darurat selama setahun di negara itu.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, tindakan coup d’etat atau kudeta oleh pihak tentera jelas merupakan tindakan undur ke belakang sehingga meruntuhkan sistem demokrasi di negara itu.

Katanya, pengisytiharan darurat di Myanmar dan Malaysia berbeza jauh kerana di negara kita bertujuan mengekang wabak Covid-19 dengan mengelakkan berlaku sebarang pilihan raya kecil atau pilihan raya umum ketika pandemik.

- Advertisement -

“Pengisytiharan darurat di negara ini tidak bermotifkan politik apabila tiada seorang pun pemimpin pembangkang yang ditahan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam, sekali lagi berlaku rampasan kuasa tentera di Myanmar dengan mengembalikan pemerintahan tentera selepas demokrasi subur seketika di negara itu sebelum ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Dato’ Seri Saifuddin Nasution membanding situasi yang berlaku di Myanmar dengan Malaysia dengan mempersoalkan mengenai penggantungan parlimen berikutan darurat kesihatan.

“Mungkin Setiausaha Agung PKR tersebut terlepas pandang beberapa perkara dek sibuk mencari jalan untuk meletakkan presiden partinya menjadi Perdana Menteri Malaysia,” kata Shahir.

Menurutnya, fakta yang berlaku hari ini Malaysia melihat unjuran 5,000 kes harian positif Covid-19 yang dibimbangi sebelum ini menjadi kenyataan sekarang.

“Ini berbeza dengan darurat di Myanmar apabila Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, Presiden U Win Myint dan pemimpin politik kanan yang lain ditahan pihak tentera.

“Pemimpin pembangkang di Malaysia tidak ditangkap, ditekan atau dikenakan sebarang tindakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/2/2021

- Advertisement -